Oleh Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Barisan pemimpin tertinggi UMNO termasuk Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri iaitu Menteri Besar dan Ketua Menteri menghadiri mesyuarat perhubungan UMNO bersama Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Najib Razak di Seri Perdana di sini, petang tadi.

Kenderaan rasmi yang membawa mereka dilihat mula memasuki Kompleks Seri Perdana di sini, kira-kira jam 5.30 petang tadi.

Bagaimanapun, wakil badan perhubungan UMNO Selangor dan Pulau Pinang tidak hadir pada pertemuan itu.

Antara yang hadir , Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Setiausaha Kerja UMNO Datuk Abdul Raof Yusof.

Dalam pada itu, antara Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang hadir adalah Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Selain itu, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron, Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan Datuk Ahmad Jazlan Yaakob turut hadir.

Difahamkan, pertemuan itu bagi memaklumkan beberapa isu semasa susulan rombakan Kabinet pada Selasa lalu dan perkembangan politik semasa negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 31 Julai 2015 @ 7:28 PM