ANGGOTA bomba membersihkan pokok yang menghempap kereta di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
ANGGOTA bomba membersihkan pokok yang menghempap kereta di Jalan Sultan Azlan Shah, Ipoh, petang tadi. FOTO Ihsan JBPM
Balqis Jazimah Zahari


PEMBANTU kewangan di sebuah kilang trauma selepas Perodua Axia dipandunya dihempap pokok ketika melalui Jalan Sultan Azlan Shah di Ipoh, hari ini.

Dalam kejadian 6 30 petang, mangsa Zilfiah Husaini, 34, memandu sendirian untuk pulang ke rumah dari tempat kerja.

Zilfiah berkata, ketika kejadian keadaan trafik agak perlahan kerana terdapat lampu isyarat di laluan itu selain angin bertiup kuat bersama ribut petir.

“Apabila tiba di tempat kejadian, saya rasa ada benda jatuh di atas bumbung dan selepas itu kereta tidak dapat bergerak lagi. Saya menjadi sangat takut ketika itu sehingga menggigil,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Katanya, akibat terlalu panik dia langsung tidak berani keluar dari kenderaan yang sudah dihempap pokok.

“Saya tergamam dan takut untuk keluar dari kereta kerana risau masih ada lagi pokok yang akan tumbang atau dahan pokok patah menimpa.

“Saya menjadi seperti hilang punca dan hanya berdiam diri di dalam kereta sehingga pintu diketuk dan orang ramai kemudian membantu saya untuk keluar,” katanya.

Katanya, dia kemudian cuba menghubungi suaminya, Mohd izwanni Sariman, 34, tetapi gagal.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh R Mathavan berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 6.37 petang.

“Anggota bomba yang tiba di lokasi kejadian melihat sebatang pokok tumbang merintangi jalan dan turut menghempap sebuah kereta.

“Mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan, namun kenderaannya pecah pada bahagian cermin dan remuk pada bumbung,” katanya.

Katanya, keadaan lalu lintas turut sesak sejauh dua kilometer dan anggota bomba mengambil masa lebih 20 minit bagi memotong pokok yang tumbang merintangi jalan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 10:51 PM