AZHAR Azizan ketika sidang media pengumuman tarikh PRK DUN Semenyih. FOTO Abd Rahim Rahmat
AZHAR Azizan ketika sidang media pengumuman tarikh PRK DUN Semenyih. FOTO Abd Rahim Rahmat
Azura Abas dan Irwan Shafrizan Ismail


SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) menetapkan Pilihan Raya Kecil (PRK) N24 Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada 2 Mac depan.

Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun berkata, penamaan calon pula ditetapkan pada 16 Februari, manakala tarikh mengundi awal pada 26 Februari.

Beliau berkata, seramai 54,503 pemilih layak mengundi bagi PRK itu mengikut daftar pemilih sehingga suku ketiga 2018 yang dikemaskini sehingga 11 Januari lalu.

“Tempoh berkempen selama 14 hari dan kos bagi menjalankan PRK ini sebanyak RM1.8 juta,” katanya pada sidang media PRK N24 DUN Semenyih di Putrajaya, hari ini.

Beliau berkata, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang, Datuk Mohd Sayuthi Bakar dilantik sebagai Pegawai Pengurus PRK.

Azhar berkata, SPR akan menggunakan Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang, Saujana Impian sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan undi.

Dalam pada itu, Azhar berkata, SPR akan menyiarkan proses penamaan calon, pengeluaran kertas undi pos, pengundian awal, semakan peti undi, pengundian, pengiraan undi dan keputusan PRK ini secara langsung melalui Facebook live SPR.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan penyandangnya dari Pakatan Harapan (PH), Bakhtiar Mohd Nor, 57, meninggal dunia di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) 9 Mei lalu, Bakhtiar mengetepikan penyandangnya daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Johan Abdul Aziz serta dua calon lagi iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

PRK Semenyih adalah yang keempat diadakan di Selangor selepas PRU-14. Sebelum ini, Selangor sudah mengadakan tiga PRK iaitu di DUN Sungai Kandis, Seri Setia dan Balakong.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Semenyih
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 January 2019 @ 11:10 AM