(Gambar fail) Kakitangan SPR, Abdul Rahman Baharin (kiri) dan Ahmad Kamil Ahmad Adli, membungkus borang undi pos untuk PRU-13 lalu.
(Gambar fail) Kakitangan SPR, Abdul Rahman Baharin (kiri) dan Ahmad Kamil Ahmad Adli, membungkus borang undi pos untuk PRU-13 lalu.
Tharanya Arumugam

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) memberi jaminan bahawa pengundian pos untuk Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah telus dan cekap.

Ketua Penolong Setiausaha, Bahagian Perjalanan Pilihan Raya, Mohd Sarif Hassan berkata, tiada ruang untuk penipuan atau penyalahgunaan dalam mengendalikan undi pos berikutan prosesnya akan dilaksanakan dengan telus.

“Pegawai Pengurus di kawasan terbabit bertanggungjawab mengendali pengeluaran kertas undi pos. Proses ini dilakukan dengan kehadiran wakil calon yang bertanding.

“Pengundi pos yang layak akan menerima satu sampul surat berwarna coklat yang mengandungi dua sampul surat kecil (merah jambu untuk kerusi Dewan Undangan Negeri dan putih untuk kerusi Parlimen, kecuali pengundi di Wilayah Persekutuan yang hanya akan mengundi di kerusi Parlimen) bersama-sama kertas undi.

“Pengundi perlu menandakan calon pilihan dan mengisi borang pengisytiharan identiti (Borang 2). Mereka perlu mendapatkan tandatangan seorang saksi (rakan atau ahli keluarga yang berusia 21 tahun ke atas) untuk membuktikan mereka adalah pengundi yang layak.

“Mereka perlu memastikan kertas undi dan borang pengisytiharan identiti mengandungi nombor siri yang sama,” katanya dalam satu temubual khas dengan stesen radio Selangor FM, hari ini.

“Mereka yang layak mengundi secara pos adalah rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara (permohonan ditutup pada 7 April) dan anggota polis, pasukan tentera, pekerja pilihan raya , petugas media dan kakitangan sembilan agensi dan jabatan kerajaan yang tidak boleh keluar mengundi pada pengundian awal 5 Mei ini.

Sembilan agensi dan jabatan kerajaan itu termasuk Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia); Jabatan Penjara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM); Kementerian Kesihatan Malaysia (hanya yang bekerja di hospital dan klinik kerajaan); Polis Bantuan; Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM); Jabatan Imigresen; Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA); dan Jabatan Pendaftaran Negara (hanya kakitangan di Pusat Transformasi Bandar).

Mohd Sarif berkata, sampul surat undi pos yang digam dan berisi kertas undi perlu tiba di pejabat Pegawai Pengurus masing-masing sebelum jam 5 petang pada 9 Mei ini.

“Hantarkan semua sampul surat undi pos ini secepat mungkin kerana mana-mana kertas undi yang tiba selepas jam 5 petang pada 9 Mei ini tidak akan dikira.

“Pengundi boleh memilih untuk menghantarnya menggunakan Pos Malaysia (secara percuma) atau menghantar sampul surat itu dengan tangan ke pejabat Pegawai Pengurus. Pengundi luar negara, bagaimanapun, perlu menanggung sendiri kos penghantaran.

“Sebaik saja diterima, sampul surat itu akan disimpan dengan selamat dengan kawalan yang ketat, contohnya di balai polis sehingga hari mengundi. Ia akan dibuka di hadapan wakil calon sebelum ia dimasukkan ke dalam kotak undi,” katanya.

Pengundi pos, katanya, tidak dibenarkan untuk mengundi pada hari mengundi sekiranya mereka berubah fikiran atau tidak menghantar undi pos pada masanya.

Mohd Sarif juga menafikan dakwaan bahawa ada 4 juta pengundi pos berdaftar. Katanya, jumlah pengundi pos selalunya tidak melebihi 500,000.

“Hanya ada kira-kira 12,000 pengundi luar negara dan 299,000 pengundi pos di dalam Malaysia,” katanya, selain meminta sebarang pertanyaan diajukan orang awam ke talian 03-88810081 atau menghantar emel kepada [email protected].

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 9:20 PM