Ekhwan Haque Fazlul Haque dan Rizanizam Abdul Hamid


PROSES pengundian awal dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau esok akan membabitkan 110 pengundi.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun, berkata jumlah itu membabitkan 74 anggota tentera serta pasangan yang akan mengundi di Pangkalan Udara Sendayan, manakala 36 anggota polis pula akan mengundi di Balai Polis Rantau.

Menurutnya, lapan pengundi yang terdiri daripada tentera pula akan mengundi secara pos.

“Semua pengundi awal boleh mula mengundi di pusat pengundian awal bermula jam 8 pagi dan ditutup jam 12 tengah hari.

“Proses pengundian awal juga akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook (FB) SPR,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Beliau berkata, ejen calon serta pemerhati pilihan raya yang terdiri daripada wakil organisasi dan badan bukan kerajaan (NGO) yang dilantik SPR akan diletakkan di dua pusat pengundian awal.

Katanya, peti undi bagi pengundian awal akan disimpan di lokap balai polis sebelum proses pengiraan dibuat selepas selesai proses mengundi 13 April ini.

Beliau berkata, penjumlahan undi akan dijalankan di pusat pengiraan undi berkelompok di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bandar Sri Sendayan.

PRK DUN Rantau menyaksikan pertembungan empat penjuru antara Timbalan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Dr S Streram yang mewakili Pakatan Harapan (PH), Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan mewakili Barisan Nasional (BN) manakala dua calon bebas iaitu R Malarvizhi dan Mohd Nor Yassin.

Mahkamah Persekutuan menolak petisyen difailkan Mohamad bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya Seremban, pada 16 November yang mengisytiharkan kemenangan BN bagi kerusi itu terbatal dan tidak sah.

  • Lagi berita berkaitan Pilihanraya Kecil Rantau
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 April 2019 @ 10:28 AM