KESAN gigitan di dahi kanan Nur Ain Aryanie selepas diserang kera betina di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, semalam. FOTO Mohamed Sahidi Yusoff
KESAN gigitan di dahi kanan Nur Ain Aryanie selepas diserang kera betina di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, semalam. FOTO Mohamed Sahidi Yusoff
Mohamed Sahidi Yusof


MURID tahun tiga menerima lima jahitan di dahi kanan apabila diserang seekor kera betina di Kampung Sat Tengah, Tanah Merah, petang semalam.

Kejadian berlaku ketika Nur Ain Aryanie Zamry, 9, bersama dua rakannya pulang dari sekolah dengan menggunakan laluan berhampiran rumah pemilik haiwan berkenaan pada 2 petang.

Mereka dikatakan bermain di kawasan itu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke rumah masing-masing dan ketika itu Nur Ain Aryanie digigit.

Ibu mangsa yang enggan dikenali berkata, dia menyedari anaknya diserang haiwan itu selepas berlari ke arahnya dengan menutup muka sambil menjerit kesakitan.

“Seorang rakan anak saya memukul kera itu menggunakan kayu sebelum haiwan itu melepaskan gigitannya.

“Apabila melihat kecederaan di dahi kanan akibat gigitan itu, saya segera membawa anak ke unit kecemasan Hospital Tanah Merah (HTM) untuk menerima rawatan," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Sat Hilir, hari ini.

Bagaimanapun, Nur Ain Aryanie yang juga murid Sekolah Ugama Al-Fitrah Bantuan Kerajaan (SABK) itu dibenarkan pulang ke rumah dan diberi cuti rehat selama dua hari.

Sementara itu, Penolong Pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Jeli, Syamsul Mohamed Gani mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, pihaknya sudah meninjau kawasan kejadian dan merekodkan segala butiran mengenai pemilik kera itu dan mangsa berkenaan.

“Dalam kejadian itu, mangsa layak membuat permohonan bagi mendapatkan bantuan menerusi Tabung Serangan Binatang Buas," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 April 2018 @ 6:16 PM