PASUKAN mencari dan menyelamat (SAR) yang diketuai oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menemui mayat seorang mangsa dipercayai krew kapal korek JBB Rong Chang 8 yang  terbalik di perairan Parit Jawa, Muar. FOTO Adi Safri

Badrul Kamal Zakaria

MAYAT seorang daripada kru kapal korek JBB Rong Chang 8 yang dilaporkan terbalik di perairan Parit Jawa pada Mac lalu, ditemui dan dibawa naik oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang melakukan operasi berkenaan sejak 8 pagi tadi.

Mayat mangsa kru terbabit kemudiannya dibawa ke Pangkalan Nelayan Parit Jawa, Muar dengan menaiki bot Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) pada 1.30 petang tadi, sebelum diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Difahamkan, penemuan mayat kru berkenaan ditemui oleh pihak kontraktor yang kini sedang dalam usaha menterbalikkan semula struktur keseluruhan asal kapal korek terbabit, sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa.

Usaha membawa keluar mayat kru itu dilakukan oleh pasukan SAR yang terdiri daripada APMM, PDRM, Pasukan Polis Marin (PPM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dilaksanakan sejak 8 pagi tadi.

Bagaimanapun, usaha NSTP untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara ini masih belum berhasil dan difahamkan satu sidang media berkaitan kes terbabit akan diadakan di Pejabat APMM Johor Bahru dalam tempoh terdekat.

Pada 21 Mac lalu, media melaporkan sebuah kapal korek pasir JBB Rong Chang 8 terbalik kira-kira 7.50 pagi pada kedudukan 8.5 batu nautik dari Perairan Parit Jawa, Muar

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Jun 2018 @ 3:07 PM