KETUA Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud bersama bunga Rafflesia di Hutan Simpan Gerik berhampiran Kampung Bongor, Gerik.
KETUA Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Nor Akhirrudin Mahmud bersama bunga Rafflesia di Hutan Simpan Gerik berhampiran Kampung Bongor, Gerik.
Muhammad Apendy Issahak

Gerik: Ramai beranggapan bunga terbesar di dunia, pakma atau Rafflesia hanya terdapat dalam hutan di Sabah mahupun Sarawak namun kawasan hutan hujan tropika di daerah Hulu Perak juga dihuni tiga daripada 20 spesies yang ada di dunia.

Bunga parasit ini hidup liar di beberapa hutan simpan di daerah ini termasuk di Taman Negeri Royal Belum dan Hutan Simpan Gerik.

Di Royal Belum, terdapat beberapa lokasi bunga terbabit boleh ditemui antaranya di Sungai Gadong A dan B serta Pos X-ray yang mana jika pengunjung bertuah boleh melihat Rafflesia yang sedang kembang kerana ia tidak bermusim.

Pengurus Besar Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) Noor Asmah Mohd Nawawi berkata, dua lokasi berkenaan yang dikenal pasti subur dengan bunga berkenaan juga dijadikan kawasan konservasi Rafflesia termasuk bagi tujuan kajian pelbagai pihak.

“Terdapat tiga spesies bunga pakma ditemui di Royal Belum iaitu Rafflesia kerrii, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia azlanii yang dinamakan sempena nama Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

“Rafflesia lazimnya tumbuh di kawasan lereng bukit dan jenis tumbuhan sensitif yang mudah ‘merajuk’ jika diganggu terutama akar perumah serta kelopaknya tidak boleh disentuh kerana ia akan layu dan mati serta tidak tumbuh lagi,” katanya.

Menurutnya, sebagai langkah konservasi kawasan tumbuhnya tunas dan putik Rafflesia yang rupanya seakan kubis merah akan dipagar agar pengunjung tidak mengancam bunga unik berkenaan.

“PTNP juga membina pelantar supaya pengunjung tidak terpijak akar hingga merosakkan tempat bunga ini menumpang selain memudahkan mereka bergambar dengan lebih dekat,” katanya.

Sementara itu, satu lagi lokasi dikenal pasti sebagai habitat Rafflesia adalah di Hutan Simpan Gerik berhampiran Kampung Bongor, di sini, yang bersempadan dengan Royal Belum.

Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Perak (JPNPk) Datuk Mohamed Zin Yusop berkata, Rafflesia di Hutan Simpan Gerik berhampiran Kampung Bongor itu sudah banyak didokumentasikan penyelidik tempatan dan luar negara sejak awal 2000 lagi, namun belum ada usaha pemeliharaan pada ketika itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Mac 2018 @ 5:58 AM