Muaz Fitri dan isterinya, Qaseh Anita, selamat bernikah Jumaat lalu.
Muaz Fitri dan isterinya, Qaseh Anita, selamat bernikah Jumaat lalu.
Norhayati Nordin

 

Kuala Lumpur: Pelakon Muaz Fitri, 34, memilih 'bahagia cara kita' bersama isterinya, Qaseh Anita Abd Shukor, 50, dengan menyerahkan rezeki cahaya mata kepada ketentuan Allah, namun bersyukur impian mereka untuk hidup bersama menjadi kenyataan.

Muaz atau nama sebenarnya, Muaz Aidil Fitri Maslan berkata, dia tahu dengan perbezaan umur mereka yang ketara iaitu 16 tahun, sudah tentu menimbulkan pelbagai pertanyaan daripada pihak luar, terutama soal anak.

"Sepanjang kami bercinta dan bertunang dulu, banyak juga terima komen-komen negatif yang ditulis netizen apabila kisah kami disiarkan media, tapi saya okay saja sebab kita semua ada pilihan masing-masing, bahagia cara kita.

"Saya juga tak kisah apabila terbaca komen seperti eh tunang dia tualah, dia nak tumpang senang saja ni, tak nak anak ke bila kahwin nanti?, semua itu memang ada segelintir netizen yang tulis. Tapi, bagi saya, tidak mengapalah dan terima kasih semua.

"Pada saya, kalau kami ada rezeki dikurniakan anak nanti, Alhamdulillah. Kalau tak ada pun, saya reda dan terima dengan seikhlas hati sebab tidak semestinya tiada anak, kami tidak boleh mengecap bahagia dalam rumah tangga yang dibina ini," katanya kepada Harian Metro.

Muaz berkata, dia menerima dan hormati apa saja komen yang ditulis netizen terhadapnya kerana pada era media sosial ketika ini, semua orang berhak menulis apa saja komen mereka walaupun ia berbaur negatif.

"Apapun, saya gembira hubungan dengan anak tunggal isteri, Hilman, 26, baik dan rapat, termasuk penerimaan keluarga mentua kepada saya juga sangat baik. Saya hanya mampu bersyukur dengan rezeki kasih sayang keluarga yang Allah berikan ini.

"Niat saya mengahwini Qaseh sebagai isteri ikhlas. Banyak yang sudah kami lalui selepas saling mengenali dan rapat sejak  2018 lalu. Saya mohon doakan yang baik-baik untuk rumah tangga kami  dan semoga yang baik-baik juga berbalik untuk kalian semua," katanya.

Terdahulu, Muaz dan Qaseh juga pengurusnya bertunang pada Julai 2022 dan mereka selamat bernikah pada 26 April lalu bersempena tarikh lahir kedua-duanya yang berlainan tahun kelahiran di Masjid Tunku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya.

Hanya sekali lafaz, pasangan ini sah menjadi suami isteri pada jam 10 pagi dan Muaz menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 kepada Qaseh berserta wang hantaran berjumlah RM10,000.

Majlis resepsi belum diadakan dan mereka memilih berangkat ke Tanah Suci Makkah bagi mengerjakan umrah sekali gus bulan madu pada Julai depan, berikutan ketika ini Muaz terbabit penggambaran drama Badai Semalam untuk RTM.

Antara drama pernah dibintangi Muaz ialah Misiku Kuza musim pertama, Baby Ana Milik Siapa, Seharum Kasih, Aurora Aisyah, Lara Syakila, Origami, Dosa Semalam, Cari Aku Di Syurga dan Takdir Yang Tertulis.

 

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 12:12 PM