Ahmad Nazlan Idris melihat keunikkan bunga rafflesia di Gunung Benom. FOTO ROSELAN AB MALEK
Ahmad Nazlan Idris melihat keunikkan bunga rafflesia di Gunung Benom. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


Jerantut: Keunikan bunga rafflesia antara empat produk baharu menjadi tarikan kepada pelancong meminati keindahan alam semulajadi dan aktiviti lasak di Hutan Simpan Lembah Benum di Mukim Hulu Cheka, dekat sini.

Produk lain adalah keindahan air terjun Sungai Rengat, melihat keunikan burung enggang dan suasana litar motocross.

Ahli Parlimen Jerantut, Datuk Ahmad Nazlan Idris berkata, sejajar dengan pelancaran pelan eko pelancongan 2020-2030, empat produk terbaharu ditawarkan di Lembah Benum itu, mampu menarik kedatangan lebih ramai pelancong domestik dan luar negara.

Beliau berkata, keunikan dan keindahan alam semula jadi di di Lembah Benum adalah aset bernilai tinggi yang tidak boleh ditemui di tempat lain dan perlu dijaga sebaik mungkin.

"Lembah Benum bukan sahaja mempunyai hutan hujan masih terjaga dengan baik, malah memiliki khazanah alam semulajadi sebagai produk eko pelancongan berpotensi diperkenalkan kepada pelancong dari dalam dan luar negeri.

"Kita ada kawasan air terjun dan perkelahan sangat bersih dan cantik di Sungai Rengat dan bagi penggemar sukan lasak pula, ada litar motocross diusahakan sendiri penduduk setempat.

"Selain itu, dalam Lembah Benum mempunyai lokasi bunga rafflesia atau bunga pakma yang tumbuh secara semula jadi, dan peminat burung pula, ia menjadi habitat pelbagai spesiss burung termasuk empat spesis enggang, " katanya kepada media selepas meninjau lokasi penemuan bunga rafflesia di kawasan Gunung Benum.

Turut bersama dalam tinjauan itu Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan (MOTAC) Pahang, Datuk Idros Yahya.

Nazlan berkata, keunikan yang ada di situ sewajarnya dijaga dengan baik oleh penduduk setempat dan boleh menjana pendapatan dalam pelbagai bidang.

"Anak muda boleh menjadi pemandu pelancong kepada pengunjung, manakala penduduk boleh menyediakan inap desa selain makanan khususnya makanan tradisi setempat.

"Saya harap penemuan bunga pakma atau rafflesia yang sukar ditemui di tempat lain dapat melonjakkan lagi jumlah kedatangan pelancong ke daerah Jerantut dan Pahang," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Disember 2020 @ 7:55 PM