SHAHRIL Mohamad (dua, kanan) ketika melihat Rafflesia di TER Lata Jarum. FOTO Mohd Rafi Mamat
SHAHRIL Mohamad (dua, kanan) ketika melihat Rafflesia di TER Lata Jarum. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat

Raub: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Raub mengenal pasti tiga lokasi di daerah ini yang mempunyai bunga terbesar di dunia, Rafflesia atau dikenali sebagai Pakma.

Tumbuhan unik menjalar itu berada di tiga lokasi di Lata Lembik, Bukit Taching dan Gunung Benom dalam kawasan hutan simpan kekal.

Pegawai Hutan Daerah Raub Shahril Mohamad berkata, usaha mempromosikan Rafflesia yang terdapat di daerah ini sedang giat dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan bersama Malim Gunung atau pemandu pelancong.

Katanya, Rafflesia mampu menjadi daya tarikan pelancong ke Taman Eko Rimba (TER) dengan mereka hanya perlu masuk ke dalam hutan sejauh beberapa kilometer.

"Di daerah ini, terdapat enam jenis Rafflesia antaranya Rafflesia cantleyi, Rafflesia azlanii dan Rafflesia sharifah hapsahiae. Ini disahkan oleh penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia yang membuat tinjauan tumbuhan berkenaan.

"TER Lata Jarum antara lokasi terkenal dengan Rafflesia dan setiap kali Pakma kembang, ramai pelancong tempatan akan datang untuk melihat lebih dekat bunga terbesar di dunia itu," katanya ketika berkunjung ke TER Lata Jarum, semalam.

Beliau berkata, pihaknya menyediakan laluan di beberapa TER bagi memudahkan pelancong sampai ke kawasan Rafflesia itu.

Menurutnya, kakitangan PHD Raub sentiasa memantau kawasan tumbuhan Rafflesia dan sekiranya terdapat bunga yang kembang, ia akan dikongsi dengan agensi pelancongan tempatan dan Malim Gunung.

Katanya, Rafflesia yang kembang hanya bertahan beberapa hari dan selepas itu, ia akan musnah dan reput secara semula jadi.

"Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menetapkan pelancong yang ingin masuk ke hutan untuk melihat Rafflesia perlu mendapatkan khidmat Malim Gunung bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

"Sebelum masuk ke dalam hutan simpan, mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan permit memasuki hutan simpan yang dikeluarkan pejabat hutan daerah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Mac 2022 @ 1:29 PM