PEGAWAI Hutan Daerah Terengganu Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd Shahril Nizam Mat Ali (kiri) bersama Pengawas Hutan Mat Shafie Omar mengukur bunga pakma.
PEGAWAI Hutan Daerah Terengganu Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd Shahril Nizam Mat Ali (kiri) bersama Pengawas Hutan Mat Shafie Omar mengukur bunga pakma.
BERNAMA

Kuala Berang: Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu akan mewartakan sebahagian Hutan Simpan Tembat, Jenagor, dekat sini, dalam usaha memelihara habitat bunga pakma atau lebih dikenali sebagai rafflesia.

Pengarahnya, Roslan Rani berkata, pihaknya akan mengemukakan kertas kerja berkaitan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat untuk kajian dan penelitian sewajarnya.

Beliau berkata, jika perkara terbabit berjalan lancar, langkah pewartaan dijangka dapat dilaksanakan pada tahun ini mengikut Seksyen 10 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.

"Pewartaan ini bagi memastikan kelestarian habitat dan ekosistem di sekitar bunga pakma yang istimewa ini kekal terpelihara daripada sebarang aktiviti manusia.

 PEGAWAI Hutan Daerah Terengganu Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd Shahril Nizam Mat Ali (tengah) memeriksa bunga pakma di Hutan Simpan Tembat, Jenagor, Kuala Berang.
PEGAWAI Hutan Daerah Terengganu Barat, Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu, Mohd Shahril Nizam Mat Ali (tengah) memeriksa bunga pakma di Hutan Simpan Tembat, Jenagor, Kuala Berang.

"Kami akan angkat kertas kerja kepada kerajaan negeri dalam sedikit masa lagi dan jika tidak ada masalah, insya-Allah mungkin (pewartaan) dapat direalisasikan tahun ini," katanya.

Roslan berkata, bunga pakma mula ditemui di sekitar Hutan Simpan Tembat pada 2019 dan sejak itu, ia membiak dengan banyak kerana keadaan perumah sesuai dengan pertumbuhannya.

Menurut beliau jenis bunga yang tumbuh di hutan itu daripada spesies rafflesia cantleyi iaitu yang terbesar, cantik serta jarang ditemui.

"Kewujudannya secara semula jadi menarik minat ramai pencinta alam termasuk pendaki yang ingin menyaksikan sendiri bunga pakma yang biasa hanya ada di Sabah dan Sarawak.

KAWASAN sekitar bunga pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia ditutup  bertujuan untuk menjaga kawasan terbabit.
KAWASAN sekitar bunga pakma atau lebih dikenali sebagai Rafflesia ditutup bertujuan untuk menjaga kawasan terbabit.

"Bagaimanapun, pengunjung yang ingin masuk ke kawasan Hutan Tembat perlu memohon permit khas daripada pegawai hutan daerah Hulu Terengganu bagi mengelak didakwa kerana menceroboh kawasan hutan simpan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 January 2023 @ 7:01 AM