Renjer PTNP membuat rondaan di Taman Negeri Royal Belum.
Renjer PTNP membuat rondaan di Taman Negeri Royal Belum.
Muhammad Apendy Issahak

Gerik: Serangga kayu dikenali sebagai belalang belong yang mengeluarkan bunyi ‘belummm...belummm’ berulang kali dikatakan menjadi asal nama bagi Taman Negeri Royal Belum, antara hutan hujan tropika tertua dunia yang dipercayai berusia 130 juta tahun.

Hutan kaya dengan khazanah alam ini boleh disifatkan sebagai syurga flora dan fauna dengan kepelbagaian biologi yang dilindungi demi menjamin kelestarian biodiversiti yang kian diancam kepupusan.

Meliputi kawasan seluas 117,500 hektar dengan dua lapisan hutan membabitkan kehijauan hutan hujan Malaysia, Borneo dan Sumatera serta hutan Thailand dan Myanmar yang mempunyai musim luruh.

Royal Belum juga kawasan daratan terlindung kedua terbesar di Semenanjung merangkumi Banjaran Titiwangsa yang bersempadan dengan Taman Negara Bang Lang dan Santuari Hidupan Liar, Thailand serta Hutan Simpan Banding, Hutan Simpan Temenggor, Hutan Simpan Amanjaya dan Hutan Simpan Gerik.

Ikan kelah yang terdapat di Santuari Ikan Sungai Ruok.
Ikan kelah yang terdapat di Santuari Ikan Sungai Ruok.

Mempunyai lebih 3,500 spesies flora, hutan yang dikatakan lebih tua daripada hutan hujan Amazon di Amerika Selatan dan Congo di Afrika Tengah ini juga habitat tiga spesies rafflesia yang menjadi antara tarikan utamanya.

Royal Belum turut kaya dengan fauna membabitkan lebih 80 spesies mamalia dan ribuan serangga serta unggas termasuk lebih 300 spesies burung selain pelbagai jenis ikan sungai yang hidup bebas dan liar.

Dikenal pasti sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS), hutan ini termasuk dalam Pelan Konservasi Gajah Kebangsaan (NECAP) (2013–2022) dan Pelan Tindakan Pemuliharaan Harimau Kebangsaan (NTCAP) (2008-2020) selain diiktiraf BirdLife International sebagai kawasan penting burung.

Pengurus Besar Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNP) Noor Asmah Mohd Nawawi berkata, Royal Belum khazanah negara tidak ternilai yang masih belum terusik dan tidak tercemar serta mempunyai pelbagai tarikan tersendiri.

Menurutnya, kebanyakan hutan di Hulu Perak termasuk Royal Belum habitat bagi bunga pakma atau rafflesia membabitkan tiga spesies iaitu Rafflesia Kerrii, Rafflesia Cantleyi dan Rafflesia Azlanii yang dinamakan sempena nama Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

“Royal Belum juga kawasan tumpuan burung enggang dengan 10 spesies burung jenis migrasi ini boleh ditemui di sini selain mempunyai jenut atau sira iaitu kawasan garam nutrien yang sering dikunjungi hidupan liar untuk minum.

“Tarikan lain terdapat di sini hidupan liar seperti gajah Asia, harimau, seladang, tapir, rusa Sambar dan beruang matahari selain santuari ikan kelah membabitkan kawasan air terjun serta penempatan masyarakat Orang Asli dari suku kaum Jahai,” katanya.

SELADANG yang terdapat di Taman Negeri Royal Belum.
SELADANG yang terdapat di Taman Negeri Royal Belum.

Noor Asmah berkata, Royal Belum juga sudah didaftarkan di bawah program Pemuliharaan Standard Harimau (CATS) tahun lalu, sekali gus menjadikan Perak negeri pertama di Asia Tenggara yang mendaftar untuk konsep berkenaan.

“Pada Februari 2017 hutan ini juga dimasukkan ke dalam Senarai Tentatif untuk pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) bagi kategori kawasan semula jadi.

“Pengiktirafan antarabangsa itu kelak mampu mentransformasi kluster pelancongan di sini dalam menggamit kunjungan pelancong terutama luar negara.

“Kunjungan pewaris takhta Britain, Putera Charles pada November tahun lalu melonjakkan lagi nama Royal Belum ke mata dunia yang memberi kesan positif bagi sektor pelancongan susulan ia turut mendapat liputan media luar negara,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya turut menambah pelbagai tarikan baru termasuk laluan kanopi, pulau khas ditanam dengan tumbuhan tertentu Royal Belum dan banyak lagi perancangan.

“Harap khazanah negara malah dunia itu terus terpelihara dan dapat menimbulkan kesedaran semua pihak untuk menghargainya,” katanya.

khususnya rakyat Perak dan Malaysia amnya,” katanya.

POKOK Medang yang terdapat di Taman Negeri Royal Belum.
POKOK Medang yang terdapat di Taman Negeri Royal Belum.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Mac 2018 @ 4:48 AM