ZAWAWI (tiga kiri) bergambar dengan bunga rafflesia di Hutan Simpan Tembak. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
ZAWAWI (tiga kiri) bergambar dengan bunga rafflesia di Hutan Simpan Tembak. FOTO Ahmad Rabiul Zulkifli
Ahmad Rabiul Zulkifli

Hulu Terengganu: Penemuan bunga pakma atau dikenali sebagai Rafflesia di Hutan Simpan Tembak, Jenagor menjadi daya tarikan baharu buat pencinta alam termasuk pendaki.

Pengerusi Kelab Hulu Terengganu Hiker (HTH) Zawawi Lah, 62, berkata kewujudan bunga spesies 'Rafflesia Cantleyi' itu menyebabkan jumlah kehadiran pelancong dari dalam dan luar negeri bertambah.

"Alhamdulillah, kewujudan bunga Rafflesia itu sedikit sebanyak membantu meningkatkan aktiviti ekonomi penduduk setempat termasuk komuniti Orang Asli Sungai Berua.

"Sekarang musim bunga Rafflesia itu mengembang, maka ramai peminat aktiviti lasak dan mendaki yang datang ke sini dapat melihat bunga terbabit.

"Bagaimanapun, orang ramai perlu mendapatkan permit Jabatan Perhutanan Hulu Terengganu untuk melihat bunga berkenaan dengan permohonan perlu dibuat awal," katanya ketika ditemui pada Program Meninjau Bunga Rafflesia, di sini, baru-baru ini.

Zawawi berkata, dia berharap orang ramai yang datang untuk melihat kewujudan bunga Rafflesia di hutan simpan itu mematuhi peraturan yang ditetapkan.

Katanya, bunga itu ditemui secara berperingkat sejak Oktober 2019 dan sekarang ia sedang berkembang.

"Berdasarkan rekod, bunga Rafflesia paling besar pernah ditemui bersaiz kereta Perodua Kancil di kawasan berkenaan.

"Namun, bunga berkenaan sudah mati ketika ditemui kerana ia hanya kembang dalam masa tujuh hari saja dan sukar ditemui kerana tumbuh di kawasan tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 November 2021 @ 5:38 PM