AKTIVITI berkayak antara ditawarkan oleh operator bot rumah.
AKTIVITI berkayak antara ditawarkan oleh operator bot rumah.
Hafiz Ithnin


CUACA hampir gelap tatkala tiba di Jeti Awam Pulau Banding, Gerik Perak ketika penulis bertandang ke lokasi itu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 (PKP 2.0) dan kunjungan kali ini bukanlah kali pertama tetapi rasa teruja tetap ada seperti pertama kali ke sana.

Mana tidaknya, jika berada di Taman Negeri Royal Belum seakan-akan berada di dunia asing yang penuh dengan ketenangan, kehijauan dan paling penting dapat menghargai hutan hijau yang masih dara.

House Boat Arus Belum sudahpun siap sedia menjemput kumpulan media dari Kuala Lumpur untuk menerokai hutan dara itu.

Meskipun sebaik sahaja rumah bot itu mengangkat sauhnya untuk berlepas selama tiga hari menerokai Taman Negeri Royal Belum langit sudah pun gelap tetapi terasa begitu meriah dengan 'nyanyian' sang unggas yang aktif pada sebelah malam.

"Anda akan berasa seperti berada di dunia yang lain. Suasananya cukup segar tidak seperti di tempat lain kerana di sini, 100 peratus oksigen tanpa pencemaran," ujar Renjer Perbadanan Taman Negeri Perak, Mohd Yusri Abdullah Sani kepada kami. Malam itu, seusai menikmati hidangan malam yang lazat dari House Boat Arus Belum, Mohd Yusri memberikan taklimat mengenai taman negeri itu yang sememangnya menjadi lubuk pelancongan bagi mereka yang gemarkan kehijauan dalam pengembaraan.

Antara yang dikongsikan Mohd Yusri adalah taman negeri itu mempunyai pelbagai daya tarikan pelancongan eko seperti Air Terjun Sungai Kooi, melihat Bunga Raflessia dan bagi si kaki pancing pasti mengail pada musim tertentu menjadi pilihan.

PEMANDANGAN memukau pada waktu pagi.
PEMANDANGAN memukau pada waktu pagi.

Tidak ketinggalan, mendekati masyarakat Orang Asli dari Kaum Jahai yang menghuni di kawasan berkenaan. Namun, di kala pendemik ini, aktiviti melawat perkampungan mereka tidak lagi dibolehkan untuk memastikan tidak berlaku penularan pandemik Covid-19.

Seawal jam 6 pagi, penulis sudah bangun dari tempat tidur untuk merakam foto matahari terbit yang dikatakan mempunyai aura tersendiri di Tasik Temenggor.

Ternyata, matahari terbit bersulam kabus pagi amat memberi ketenangan kepada kami sebagai tetamu dan masa terasa bergerak begitu pantas meninggalkan pemandangan pagi yang indah itu.

Hari kedua di lokasi itu, kami dijadualkan untuk melihat secara dekat Bunga Raflessia yang terletak di Teluk Major.

Bagi ke destinasi itu, kami perlu melalui jalan denai yang mengambil masa sekitar 30 minit dan pengembaraan untuk melihat bunga terbesar dunia itu ternyata langkah kanan kerana ia sudah mula berkembang.

Ditemani pemilik House Boat Arus Belum merangkap pemandu pelancong kami pada hari itu, Shamsuddin Mohd Kasim dan turut disertai Mohd Yusri memaklumkan, terdapat tiga spesies Rafflessia atau bunga pakma ditemui di Royal Belum iaitu Rafflesia kerrii, Rafflesia cantleyi dan Rafflesia azlanii yang dinamakan sempena nama Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Muhibbuddin Shah.

Musim untuk melihatnya berkembang juga tidak mempunyai waktu yang khusus. Kebiasaannya pemandu pelancong akan mendapatkan maklumat mengenai perkembangan bunga itu terlebih dahulu sebelum membawa pengunjung.

PENGUNJUNG boleh melihat secara dekat masyarakat Orang Asli Jahai melakukan pelbagai aktiviti di Royal Belum.
PENGUNJUNG boleh melihat secara dekat masyarakat Orang Asli Jahai melakukan pelbagai aktiviti di Royal Belum.

Puas melihat keindahan bunga itu, kami kumpulan media dibawa mengunjungi Air Terjun di Sungai Kooi yang terletak di Royal Belum. Kisah mengenai destinasi ini sudah pun dikongsikan penulis sebelum ini.

Secara ringkasnya, Air Terjun Sungai Kooi sememangnya sesuatu yang wajib untuk dilawati sekiranya anda ke Royal Belum kerana kecantikkan air terjun itu amat luar biasa.

Selain dua destinasi itu, penulis juga dibawa untuk mengunjungi Sungai Papan yang mempunyai tarikan sira atau jenut iaitu kawasan yang mengandungi simpanan garam galian penting untuk mamalia tertentu.

Berada di kawasan itu, Shamsuddin amat menjaga keselamatan kami semua kerana ia adalah destinasi tarikan kepada haiwan liar seperti gajah dan Tapir Asia.

Selain melawat destinasi tarikan yang terdapat di Royal Belum, penulis bersama rakan-rakan media juga diberi kesempatan untuk melakukan aktiviti air iaitu berkayak berhampiran Kuala Sungai Papan.

Jika anda merancang untuk menerokai Royal Belum secara berkumpulan dengan minimum 30 orang menggunakan khidmat pelayaran House Boat Arus Belum, ditawarkan harga pakej RM320 seorang untuk dua hari satu malam dan tiga hari dua malam pula RM420. Harga ditawarkan termasuk makan dan minum.

Bagi mereka yang tidak mempunyai kumpulan besar boleh juga menikmati keindahan Royal Belum dengan menaiki bot laju yang dikenakan bayaran RM800 untuk satu bot.

Sekiranya waktu untuk melancong sudah dibenarkan, tidak ada salahnya untuk menikmati keindahan taman negeri itu yang sememangnya begitu unik dan menarik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2021 @ 7:00 AM