GAMBAR hiasan. Penggunaan AI bagi menghasilkan gambar model di agensi The Clueless di Barcelona, Mac lalu. FOTO AFP
GAMBAR hiasan. Penggunaan AI bagi menghasilkan gambar model di agensi The Clueless di Barcelona, Mac lalu. FOTO AFP
BERNAMA

Kuala Lumpur: Kalangan syarikat Malaysia disaran untuk mengutamakan Kecerdasan Buatan (AI) bagi memanfaatkan sepenuhnya potensi generatif teknologi itu dan inovasinya, kata penyedia platform AI dan analisis, SAS Institute Inc.

Naib Presiden Serantau dan Ketua Transformasi Digital bagi Eropah, Timur Tengah, Afrika serta Asia SAS, Amir Sohrabi berkata adalah penting untuk pemimpin perniagaan mengutamakan AI yang bertanggungjawab, tidak kiralah sama ada mereka sudah melaksanakan penggunaan AI atau masih dalam fasa perancangan.

Beliau berkata, organisasi juga perlu menyedari bahawa memastikan AI yang bertanggungjawab adalah usaha kolektif yang melibatkan semua pihak berkepentingan dalam sistem AI.

"Pengawasan itu perlu didorong oleh pasukan pengurusan eksekutif dan semua pihak perlu memastikan AI yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai.

"Menerusi tindakan pemantauan dan audit operasi AI, kalangan syarikat dapat segera mengenal pasti serta menangani isu berbangkit dan secara proaktif mengurangkan risiko sebelum berleluasa," katanya kepada Bernama.

Amir yang memetik laporan MyDigital, berkata penjanaan AI berpotensi membuka US$113.4 bilion (AS$1=RM4.76) dalam kapasiti produktif ekonomi Malaysia yang menyamai satu perempat daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2022.

Kerajaan Malaysia juga merancang untuk memperkenalkan rangka kerja bagi seliaan AI serta mewujudkan garis panduan beretika susulan peningkatan penerimagunaan AI oleh pelbagai organisasi.

Peraturan itu, katanya, bertujuan menggalakkan inovasi dengan mewujudkan persekitaran kondusif, menangani risiko dan menggalakkan penggunaan AI yang beretika dan bertanggungjawab.

Amalan AI yang bertanggungjawab juga dapat meningkatkan kesejahteraan manusia, melindungi data peribadi dan mengelakkan diskriminasi - asas dalam ketelusan dan akauntabiliti biarpun malangnya, banyak organisasi masih bergelut dalam menegakkan prinsip-prinsip ini.

Beliau juga menekankan kepentingan untuk tidak memandang ringan kepentingan melaksanakan AI yang bertanggungjawab, beretika dan selamat, khususnya berikutan kadar penggunaan yang kian ketara.

"Tindakan mengambil langkah proaktif bukan sahaja mengurangkan risiko tetapi turut meningkatkan daya tahan siber yang membolehkan organisasi Malaysia berkembang maju dalam era AI," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 12:26 PM