RAFFLESIA yang terdapat di hutan Ulu Cheka. FOTO Mohd Rafi Mamat
RAFFLESIA yang terdapat di hutan Ulu Cheka. FOTO Mohd Rafi Mamat
Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) mengenal pasti empat daerah di negeri ini terdapat bunga terbesar di dunia, Rafflesia atau dikenali sebagai Pakma.

Tumbuhan unik menjalar itu berada dalam beberapa kawasan hutan simpan dan Taman Eko Rimba (TER) di Raub, Jerantut, Lipis dan Pulau Tioman.

Penolong Pengarah Kanan (Hutan Lipur) JPNP, Regina Mariah Jong berkata, usaha mempromosikan Rafflesia yang terdapat di negeri kini sedang dilakukan secara berperingkat dengan kerjasama agensi pelancongan tempatan.

Beliau berkata, Rafflesia mampu menjadi daya tarikan pelancong ke TER untuk melihat bunga terbesar di dunia itu dan pengunjung perlu masuk ke dalam hutan beberapa kilometer.

"Jabatan menyediakan laluan di beberapa TER bagi memudahkan pelancong sampai ke kawasan Rafflesia itu.

"Jabatan menetapkan pelancong yang ingin masuk ke hutan untuk melihat Rafflesia perlu mendapatkan khidmat pemandu pelancong bagi mengelak berlaku kejadian tidak diingini.

"Sebelum masuk ke dalam hutan simpan, mereka terlebih dahulu perlu mendapatkan permit memasuki hutan simpan yang dikeluarkan pejabat hutan daerah," katanya, hari ini.

Beliau berkata, jabatan itu kini dalam proses menyediakan video mengenai Rafflesia yang terdapat di Pahang bagi tujuan promosi sektor pelancongan.

Katanya, TER Lata Jarum, Raub antara lokasi terkenal dengan Rafflesia dan setiap kali pakma kembang, ramai pelancong tempatan akan datang untuk melihat lebih dekat bunga terbesar di dunia itu.

"Bunga parasit berwarna mewah turut terdapat di hutan Sungai Rengat, Jerantut termasuk di Kampung Tekek dan Kampung Juara, Pulau Tioman.

"Kawasan TER Jerangsang, Lipis pula dijadikan kawasan konservasi Rafflesia termasuk bagi tujuan kajian pelbagai pihak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Oktober 2021 @ 3:00 PM