MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang. FOTO ARKIB
MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang. FOTO ARKIB
HM Digital


MAHKAMAH Tinggi Pulau Pinang, kelmarin membenarkan tuntutan bil terkurang caj Tenaga Nasional Berhad (TNB) berjumlah RM4,327,777.77 terhadap syarikat Wangsaga Industries Sdn Bhd kerana pengusikan pepasangan meter TNB yang berfungsi merekodkan penggunaan elektrik di kilang berkenaan.

Tuntutan itu adalah selaras dengan peruntukan Seksyen 38 (3) dan (5) Akta Bekalan Elektrik 1990.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azmi Abdullah membenarkan tuntutan TNB selaku plaintif terhadap defendan, kilang pembuatan tikar getah itu dengan faedah lima peratus dan kos tindakan sebanyak RM60,000 dari tarikh penghakiman.

Dalam penghakiman itu, TNB berjaya membuktikan terdapat pengusikan pada pepasangan meter elektrik di kilang berkenaan yang terletak di Plot 159, Jalan Perindustrian Bukit Minyak 7, Kawasan Perindustrian Bukit Minyak, Bukit Mertajam.

Pemeriksaan TNB mendapati ‘clamp’ dipasang pada blok terminal ujian (TTB) bertujuan memintas arus bahagian terminal S1 dan S2 membabitkan ketiga-tiga fasa merah, kuning dan biru.

TNB diwakili peguam Gurmel Singh dari Tetuan Kenth & Partnership yang mengemukakan writ saman terhadap kilang itu pada 6 Julai 2015.

Sementara itu, defendan diwakili peguam Norazira Ab Rahman dari Tetuan Salina, Lim Kim Chuan & Co dengan mengemukakan dua orang saksi sepanjang perbicaraan berlangsung, manakala TNB memanggil enam saksi untuk memberi keterangan.

Perbicaraan penuh terhadap kes berkenaan diadakan dua hari pada 23 dan 24 Oktober 2017.

Dalam penghakiman itu, mahkamah memutuskan semua isu dibangkitkan defendan berpihak kepada plaintif kerana TNB berjaya membuktikan kewujudan ‘clamp’ berkenaan pada meter kilang defendan hingga mengakibatkan kerugian hasil kepada TNB bagi tempoh lima tahun sejak 1 Mei 2007 hingga 13 April 2012.

Harian Metro sebelum ini, menyiarkan laporan TNB memenangi tuntutan kes sama membabitkan kerugian hasil berjumlah RM8.5 juta sepanjang tiga bulan pertama 2018 yang dibicarakan di mahkamah berasingan seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 10:05 PM