TENTERA Israel menahan seorang budak perempuan.
TENTERA Israel menahan seorang budak perempuan.
GAMBAR bukti penindasan tentera  Israel terhadap rakyat Palestin yang diperolehi daripada Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM).
GAMBAR bukti penindasan tentera Israel terhadap rakyat Palestin yang diperolehi daripada Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM).
Muhammad Saufi Hassan

Kuala Lumpur: Komuniti antarabangsa perlu meneruskan tekanan terhadap rejim Israel berhubung dasar aparteid kepada rakyat Palestin sekali gus mampu untuk mengembalikan hak masyarakat Islam di negara berkenaan yang sudah dinafikan berabad lalu.

Pengarah Media Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM), Belal Samir berkata, tekanan masyarakat antarabangsa sangat penting dalam mengubah dasar yang diguna pakai oleh rejim Zionis.

“Walaupun perlu mengambil masa yang panjang untuk mengembalikan tanah Palestin kepada mereka yang hak, namun pembabitan masyarakat antarabangsa khususnya usaha dilakukan penduduk Palestin sejak berabad lalu semakin menampakkan kesan positif.

“Kempen boikot, lupus dan sekat (BDS) yang dilancarkan sejak 2005 bertujuan untuk memberi tekanan terhadap Israel agar mematuhi undang-undang antarabangsa, benar-benar memberi impak besar dan pada masa sama turut mempengaruhi ekonomi Israel.

“Sebagai contoh, sokongan terhadap kempen BDS dalam kalangan kesatuan sekerja antarabangsa juga dilihat semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, kesan besar kempen itu dapat dilihat apabila baru-baru ini Gabungan Kesatuan Sekerja (LO) Norwegian membabitkan lebih 910,000 pekerjanya melancarkan ‘boikot ekonomi, budaya dan akademik antarabangsa Israel’ yang bertujuan untuk mencapai hak mutlak warga Palestin.

Beliau berkata, ekonomi Israel turut terkesan pada dua tahun lalu apabila syarikat keselamatan gergasi British iaitu G4S mengumumkan mereka sudah menjual anak syarikatnya di Israel sekali gus menamatkan peranan mereka sebagai pengendali sistem penjara dan pusat pemeriksaan tentera Israel.

“Menerusi perspektif undang-undang antarabangsa pula, ia secara nyata melarang dasar aparteid adalah Konvensyen Antarabangsa bagi Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), diguna pakai pada tahun 1965.

MAYAT remaja Palestin di Gaza, Ismael Abu Reyalah (gambar atas) yang ditembak mati oleh rejim Zionis pada 25 Februari lalu dan mayatnya disimpan rejim lebih dua minggu sebelum dibenarkan untuk dikebumi.
MAYAT remaja Palestin di Gaza, Ismael Abu Reyalah (gambar atas) yang ditembak mati oleh rejim Zionis pada 25 Februari lalu dan mayatnya disimpan rejim lebih dua minggu sebelum dibenarkan untuk dikebumi.

“Inilah masanya untuk seluruh masyarakat dunia khususnya umat Islam sama-sama bangkit dan bersatu memperjuangkan pembebasan Palestin, sekali gus memusnahkan hasrat rejim Israel untuk membahagikan Palestin kepada dua negara.

“Antara lain yang boleh kita lakukan adalah dengan memberi sokongan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang aktif memperjuangkan pembebasan Palestin di seluruh dunia,” katanya.

Beliau turut menggalakkan masyarakat Malaysia terutamanya supaya menghadiri serta menyertai program anjuran NGO berkaitan kerana ia mampu membantu menambah pengetahuan berhubung situasi semasa di Palestin.

ANAK Palestin memanjat tembok untuk ke sekolah.
ANAK Palestin memanjat tembok untuk ke sekolah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Mac 2018 @ 4:10 AM