Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid


Kuala Lumpur: Malaysia menegaskan rejim Israel tidak berhak menyekat segala bentuk saluran bantuan kemanusiaan dari negara luar kepada penduduk Palestin.

Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata, mengambil kira situasi kritikal masa ini, Malaysia turut menggesa masyarakat antarabangsa termasuk pertubuhan antarabangsa segera menyalurkan bantuan kemanusiaan seperti bekalan asas dan perubatan.

Beliau dalam masa sama menyatakan, Malaysia amat kecewa dengan tindakan berat sebelah dalam menangani isu konflik Israel dan Palestin.

"Tatkala pihak barat sepantas kilat mengambil tindakan dan membantu Kiev dalam mempertahankan diri dari pencerobohan Moscow, rakyat Palestin terus dipinggir tanpa sebarang pembelaan atau keadilan.

"Ini jelas menyimpang dengan prinsip kemanusiaan sejagat serta undang-undang antarabangsa.

"Kita juga bangga sewaktu satu dunia berganding bahu menghapuskan pemerintahan apartheid di Afrika Selatan, kenapa pula dasar apartheid rejim Israel dibiarkan terus bermaharajalela dan melanggar norma-norma kemanusiaan," katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai langkah-langkah diambil oleh kerajaan dalam membantu mangsa di Palestin berikutan sekatan oleh Israel terhadap bekalan keperluan asas seperti elektrik, makanan, air dan gas.

Mengulas lanjut, Zambry berkata, negara ini akan terus membantu Palestin dan buat permulaan, rakyat Malaysia yang ingin menyumbang boleh menyalurkan dana kepada Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Beliau berkata, sumbangan awal sebanyak RM1 juta daripada akaun itu akan disampaikan kepada Duta Besar Palestin ke Malaysia, Walid Abu Ali pada Khamis.

Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. FOTO FAIL BERNAMA
Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir. FOTO FAIL BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Oktober 2023 @ 1:17 PM