Oleh Mohd Iskandar Ibrahim


Putrajaya: Semua negara Islam khususnya pengeluar utama minyak dan gas digesa menghentikan penjualan bekalan itu bukan sahaja terhadap Israel, malah kepada negara yang menyokong rejim terbabit terutama Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, usaha itu penting bagi memberi tekanan kepada negara berkenaan untuk menghentikan serangan Israel ke atas Palestin yang kini berdepan isu pembunuhan beramai-ramai.

Katanya, kini bukan lagi masa untuk mengutuk dan mengecam jenayah yang dilakukan rejim Zionis, sebaliknya tindakan fizikal perlu diambil untuk menghentikan kekejaman ke atas rakyat Palestin.

"Sebenarnya kita juga boleh melakukan sekatan ke atas negara seperti AS menerusi insiatif boikot beberapa produk yang sedang berlaku ketika ini di kebanyakan negara termasuk di Malaysia.

"Saya melihat lebih banyak yang boleh dilakukan, sebagai contoh, Allah SWT mengurniakan banyak minyak kepada negara Islam dan kita boleh menafikan bekalan minyak dan gas kepada negara yang menyokong Israel seperti AS dan negara Eropah.

"Ini supaya mereka juga merasakan tekanan seperti yang dirasakan rakyat Palestin serta negara yang mereka cuba melaksanakan sekatan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang menggesa supaya hentikan sekatan bantuan kemanusiaan dunia ke Gaza di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini, hari ini.

Dr Mahathir berkata, penduduk dunia yang tidak menyokong tindakan ganas Israel perlu terus melakukan boikot produk mempunyai kaitan dengan rejim terbabit.

Dalam pada itu, beliau menggesa Mesir supaya membenarkan wanita dan kanak-kanak Palestin mendapatkan perlindungan di sempadan negara itu.

Bagaimanapun, katanya, golongan lelaki Palestin perlu terus berada di negara mereka untuk mempertahankan tanah air daripada terus dijajah Israel.

"Saya terkilan kerana kebanyakan negara berjiran dengan Gaza enggan menerima pelarian Gaza. Saya berpendapat ia tidak adil dan tidak berperikemanusiaan," katanya.

Tun Mahathir.
Tun Mahathir.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 November 2023 @ 3:08 PM