WAN Jalani (kanan) bertanya kepada sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam operasi bersepadu, hari ini. FOTO Rosli Ilham
WAN Jalani (kanan) bertanya kepada sebahagian penagih dadah yang ditahan dalam operasi bersepadu, hari ini. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


DUA beranak yang sedang lalok menghisap dadah antara 80 individu yang ditahan dalam operasi bersepadu oleh Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di daerah Dungun dan Kemaman, hari ini.

Bapa, 49, dan anak lelakinya, 28, terbabit ditahan dalam serbuan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Dungun, pagi tadi.

Siasatan awal mendapati kedua-dua beranak itu sudah lama terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Terengganu Wan Jalani Wan Ismail berkata, operasi yang dijalankan selama tiga hari bermula semalam membabitkan seramai 58 anggota AADK dan 12 anggota polis.

Katanya, seramai 50 individu ditahan dalam operasi sekitar Kuala Dungun, Paka dan Ketengah Jaya, manakala 30 orang dicekup di Kuala Kemaman, Chukai serta Cheneh.

“Hasil saringan ujian air kencing ke atas semua suspek berusia 17 hingga 58 tahun mendapati mereka positif dadah morfin dan methamphetamine,” katanya.

Katanya, dalam serbuan di ladang kelapa sawit di FELDA Ketengah Jaya pula, dua tokan berusia 41 dan 43 tahun ditahan.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua suspek menemui tujuh botol mengandungi serbuk putih dipercayai heroin dianggarkan seberat 35 gram.

“Kedua-dua tokan terbabit menjadikan kawasan ladang kelapa sawit sebagai rumah mereka dan hanya menunggu kedatangan pelanggan di situ,” katanya.

Katanya, kedua-dua tokan terbabit diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Sementara itu, semua suspek yang lain akan disiasat mengikut Seksyen 39A (1) akta sama, dan Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Mac 2018 @ 7:37 PM