ANGGOTA tentera bersama penagih lain ditahan di ladang kelapa sawit dikenali Port Gate Merah berhampiran Taman Saujana, Kluang melalui Operasi Tapis Bersepadu, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
ANGGOTA tentera bersama penagih lain ditahan di ladang kelapa sawit dikenali Port Gate Merah berhampiran Taman Saujana, Kluang melalui Operasi Tapis Bersepadu, hari ini. FOTO Adnan Ibrahim.
Adnan Ibrahim


SEORANG anggota tentera yang berkhidmat selama 17 tahun ditahan ketika mendapatkan bekalan dadah di ladang kelapa sawit dikenali sebagai ‘Port Gate Merah’ berhampiran Taman Saujana, Kluang, hari ini.

Anggota tentera berasal dari Sabah itu mengaku mula menjadi hamba dadah sejak setahun lalu dengan menjadikan heroin sebagai pelepas ketagihan.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Muhamad Laham berkata, anggota tentera terbabit antara 11 penagih dadah ditahan menerusi Operasi Tapis Bersepadu yang dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

Beliau berkata, turut ditahan seorang lelaki berusia 25 tahun dipercayai pengedar atau tokan dadah dan polis merampas satu peket lutsinar berisi ketulan putih disyaki heroin seberat 11.35 gram.

“Operasi bermula 6.30 pagi diketuai Asisten Superintendan Azizan Aziz bersama 21 anggota termasuk anggota AADK dan berakhir pada 2.30 petang itu adalah hasil daripada aduan serta maklumat penduduk berdekatan ladang kelapa sawit berkenaan.

“Dalam operasi itu, polis merampas 10 motosikal digunakan oleh suspek ketika datang mendapatkan bekalan dadah di ladang terbabit,” katanya kepada wartawan NSTP yang turut serta dalam operasi itu, hari ini.

Muhamad berkata, tokan dadah akan didakwa mengikut Seksyen 39A(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup atau penjara tidak kurang lima tahun dan sebatan tidak lebih 10 kali jika sabit kesalahan.

Beliau berkata, selain itu, 11 lelaki berusia antara 26 hingga 53 tahun termasuk anggota tentera terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 15(1) ADB 1952 yang boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun dan pengawasan polis sehingga tiga tahun jika sabit kesalahan.

“Siasatan awal mendapati kawasan itu menjadi lokasi penagih melepaskan gian sejak kira-kira tiga minggu lalu sebelum berjaya dikesan dan dimusnahkan hari ini.

“Semua 11 penagih dadah ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, manakala lelaki yang dipercayai sebagai tokan dadah itu ditahan reman selama 7 hari sehingga 14 Ogos,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 Ogos 2018 @ 7:05 PM