MAYAT mangsa ditemui di perairan Pulau Giam, Pulau Pangkor, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
MAYAT mangsa ditemui di perairan Pulau Giam, Pulau Pangkor, hari ini. FOTO Ihsan JBPM
Noor Hidayah Tanzizi


KEGEMBIRAAN sekumpulan remaja mandi di Pantai Teluk Nipah berhampiran Pulau Giam, Pulau Pangkor bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka lemas semalam dan mayatnya hanya ditemui hari ini.

Sebelum itu, J Aishwar, 18, dari Pulau Pinang dilaporkan hilang ketika mandi bersama sembilan rakannya di pantai berkenaan pada 1 tengah hari.

Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, namun terpaksa dihentikan lewat petang semalam akibat berlaku ribut di kawasan kejadian.

Mayat mangsa bagaimanapun ditemui terapung oleh pasukan SAR pada 1.15 tengah hari ini.

Ketua Polis Daerah Manjung Asisten Komisioner Muhammad Hanif Othman berkata, pada hari kejadian mangsa bersama sembilan lelaki lain datang ke Teluk Nipah untuk mandi.

Menurutnya, kumpulan lelaki berkenaan dikatakan mahu ke Pulau Giam dengan berenang dari Teluk Nipah pada 10 pagi hari kejadian.

"Namun lapan daripada mereka berpatah balik ke Teluk Nipah, manakala dua lain termasuk mangsa meneruskan renangan ke Pulau Giam.

"Lapan lelaki yang berpatah balik itu kemudian menunggu di Teluk Nipah, tetapi hanya seorang sahaja yang pulang semula ke Teluk Nipah," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhammad Hanif berkata, berikutan itu laporan polis dibuat berhubung kejadian sebelum operasi SAR dijalankan.

Katanya, operasi membabitkan polis, bomba dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

"Mangsa ditemui berhampiran perairan Pulau Giam tengah hari tadi oleh pasukan SAR dan mayat kemudian dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Mac 2018 @ 7:21 PM