GAMBAR HIASAN
GAMBAR HIASAN
Noor Hidayah Tanzizi


Lumut: Kanak-kanak lelaki warga Perancis meninggal dunia selepas terkena sengatan obor-obor ketika mandi di pantai Teluk Nipah, Pulau Pangkor, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian pada 6.45 petang, mangsa berusia lima tahun itu dipercayai disengat hidupan itu pada perut, tangan kiri dan kaki kiri.

Mangsa disahkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Klinik Kesihatan Pangkor.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, pihaknya dihubungi petugas klinik pada 7.28 malam memaklumkan kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai terkena sengatan obor-obor.

Menurutnya, sepasukan anggota polis pergi ke klinik terbabit untuk tindakan lanjut.

"Pemeriksaan pada badan mangsa mendapati ada kesan lilitan dipercayai sengatan obor-obor pada bahagian perut, tangan kiri dan kaki kiri di mana kematian mangsa disahkan pegawai perubatan bertugas.

"Siasatan awal mendapati mangsa bersama keluarganya datang ke Pulau Pangkor untuk melancong dan menginap di sebuah hotel di pulau berkenaan.

"Mangsa bersama keluarganya pergi ke pantai berkenaan untuk mandi pada 6.15 petang sebelum tiba-tiba kanak-kanak itu tiba-tiba menjerit kesakitan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Menurutnya, orang awam yang berada berhampiran turut membantu lalu membawa kanak-kanak itu ke tepi pantai sebelum mendapati mangsa terkena sengatan obor-obor.

Katanya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia di klinik kesihatan dan mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Seri Manjung untuk bedah siasat.

"Punca kematian mangsa disebabkan 'jellyfish envenomation' dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 17 Ogos 2022 @ 2:25 PM