Shaharuddin bersama  Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh berbincang  untuk memfailkan Injuksi terhadap Notis Pengosongan Pasar Besar Pasir Puteh.
Shaharuddin bersama Peniaga Pasar Besar Pasir Puteh berbincang untuk memfailkan Injuksi terhadap Notis Pengosongan Pasar Besar Pasir Puteh.
Muhamaad Razis Ismail

Kota Bharu: Persatuan Peniaga Kecil Dalam Pasir Puteh Kelantan (PEMBEKAL), memfailkan permohonan injunksi untuk menghalang notis merobohkan Pasar Besar Pasir Puteh di Mahkamah Tinggi, semalam.

Injunksi itu difailkan oleh Tetuan Shaharuddin Hidayu & Marwaliz melalui peguam Shaharuddin Mohamed yang mewakili PEMBEKAL sebagai plaintif, dengan menamakan Majlis Daerah Pasir Puteh (MDPP) sebagai defendan.

Shaharuddin ketika ditemui berkata, injunksi itu dibuat bagi mengelakkan peniaga di bangunan Pasar Besar Pasir Puteh kehilangan tempat mencari rezeki, sekali gus mengalami kerugian kewangan yang teruk jika bangunan itu dirobohkan secara paksa.

“Injunksi ini amat penting sehingga rayuan perayu diputuskan di Mahkamah Rayuan pada 22 Mac ini,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi PEMBEKAL Mohd Badrul Yaacob berkata, injunksi itu difailkan selepas MDPP mengeluarkan Notis Pengosongan dan Merobohkan Bangunan Pasar Besar Pasir Puteh pada 15 Februari lalu.

Menurutnya, MDPP dalam notis itu mengarahkan ahli persatuan keluar dari bangunan itu dalam tempoh 14 hari untuk defendan menjalankan kerja merobohkan.

“Rayuan kami di Mahkamah Rayuan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi tahun lalu akan didengar pada 22 Mac ini.

“Oleh itu, rayuan berkenaan akan menjadi sia-sia sekiranya rayuan itu memihak kepada kami jika bangunan itu dirobohkan lebih awal,” katanya.

Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini, membenarkan permohonan MDPP untuk membatalkan saman ganti rugi yang dikemukakan 258 peniaga Pasar Besar Pasir Puteh.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Ahmad Bache membuat keputusan itu selepas mendapati kes belum matang dan tiada bukti kukuh berhubung kerugian yang dialami peniaga.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Mac 2018 @ 7:00 AM