Audrey Dermawan


DUA beranak warga Afrika Selatan menangis kegembiraan selepas Mahkamah Tinggi Georgetown, hari ini, membebaskan mereka daripada pertuduhan mengedar dadah, tiga tahun lalu.

Tertuduh Catherine Terblanche Millicent, 68, dan anak perempuannya, Leilanie Calitz, 41, turut berpelukan sebaik mendengar keputusan yang dibacakan Hakim Datuk Lim Chong Fong.

Chong Fong membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

Beliau berkata, pihak pendakwaan gagal membuktikan perkara paling penting iaitu identiti dadah yang dikatakan ditemui pada barangan milik kedua-dua tertuduh.

"Ahli kimia mengakui bahawa beliau tidak menguji sendiri ketulenan bahan yang dikatakan dadah itu dan hanya mengetahui jenisnya daripada 'hearsay' (cakap dengar) kakitangannya.

"Ini adalah satu kecacatan di mana bahan utama itu gagal dibuktikan oleh pihak pendakwaan. Oleh itu kedua-dua tertuduh dibebas dan dilepaskan daripada pertuduhan," katanya.

Catherine (dua kiri) bersama Leilanie yang dibebaskan daripada hukuman mati ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia atas kesalahan visa tamat tempoh, hari ini. FOTO Danial Saad
Catherine (dua kiri) bersama Leilanie yang dibebaskan daripada hukuman mati ditahan anggota Jabatan Imigresen Malaysia atas kesalahan visa tamat tempoh, hari ini. FOTO Danial Saad

Mengikut pertuduhan, Catherine didakwa menyeludup 3,087 gram dadah jenis methamphetamine di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) pada 8.45 malam, 11 November 2014, manakala Leilanie didakwa mengedar 2,290 gram dadah jenis sama di tempat, masa dan hari yang sama.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada awalnya, kes berkenaan turut membabitkan teman lelaki Catherine iaitu Fred Philpott, 63, bagaimanapun lelaki itu meninggal dunia akibat serangan jantung ketika di dalam tahanan, awal tahun lalu.

Ketiga-tiga mereka dipercayai tiba dari Kuala Lumpur untuk bercuti di negeri ini.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Liyana Mohd Jafri, manakala kedua-dua beranak itu diwakili peguam K Simon Murali.

Catherine dan Leilanie, bagaimanapun ditahan semula Jabatan Imigresen Malaysia kerana visa tamat tempoh.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 6:32 PM