LELAKI maut manakala anaknya cedera selepas treler yang mereka naiki dirempuh treler lain di Kilometer 315.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
LELAKI maut manakala anaknya cedera selepas treler yang mereka naiki dirempuh treler lain di Kilometer 315.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan awal pagi tadi. FOTO Ihsan Bomba
Farah Suhaidah Othman


LELAKI maut, manakala anaknya cedera selepas treler yang mereka naiki dirempuh treler lain di Kilometer 315.6, Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Tapah, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 1.05 pagi itu, T Gopinath, 43, maut di lokasi kejadian manakala anaknya, G Selvan, 19, cedera.

Pemandu sebuah lagi treler berusia 27 tahun tidak cedera.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Somsak Din Keliaw, berkata siasatan awal mendapati kedua-dua treler dalam perjalanan dari Pulau Pinang menghala Kuala Lumpur.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, treler membawa muatan besi dipandu lelaki berusia 27 tahun memotong treler di hadapannya sebelum menghimpit pula treler tanpa muatan dinaiki mangsa.

"Kemalangan mengakibatkan besi panjang terkena mangsa dan bahagian belakang treler mereka dirempuh.

"Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anaknya cedera ringan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Somsak berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik, Hospital Tapah untuk bedah siasat.

"Polis menahan pemandu treler yang membawa muatan besi itu untuk saringan air kencing dan disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Kedua-dua treler dihantar ke PUSPAKOM (Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer) Gopeng untuk pemeriksaan lanjut," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 28 Februari 2018 @ 11:22 AM