TANGKAP layar video keadaan mangsa ketika ditemukan oleh anggota PBB SWART Telaga Air berdekatan Pulau Pahat. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar video keadaan mangsa ketika ditemukan oleh anggota PBB SWART Telaga Air berdekatan Pulau Pahat. FOTO Ihsan Pembaca
Mohd Roji Kawi


Kuching: Seorang nelayan yang dilaporkan hilang ketika ombak besar melanda di perairan Telaga Air, di sini, pagi tadi ditemukan selamat dengan berpaut pada botnya yang terbalik.

Mangsa, Atta Akil, 44, ditemui oleh Pegawai Bomba Bantuan Safety Water And Rescue Team (PBB SWART) Telaga Air yang mencari mangsa selepas menerima maklumat kejadian bot karam pada 11.45 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan daripada Pusat Kawalan Operasi Maritim (MRSC) Kuching berhubung kejadian pada jam 2.57 petang dan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya diarah ke lokasi.

"Tindakan pantas anggota PBB SWART Kampung Telaga Air iaitu Adi Hip memberi respon dengan turun ke laut bersama bapanya berjaya menemui mangsa berdekatan Pulau Pahat pada jam 3.42 petang.

"Ketika ditemukan, mangsa berpaut pada botnya yang terbalik dan mereka kemudian membawa mangsa balik dan tiba di jeti Telaga Air pada jam 4 petang," katanya.

Beliau berkata, mangsa dikatakan ke laut bersendirian pada jam 5 pagi, namun ombak besar mula melanda ketika dia berada di laut.

"Komuniti nelayan Telaga Air kemudian menerima maklumat mangsa menghadapi masalah apabila botnya karam kira-kira 11.30 pagi," katanya.

Menurutnya, operasi SAR turut dilancarkan oleh anggota Unit SWART Telaga Air yang lain namun mereka menghadapi kesukaran berikutan ombak besar serta tiada liputan komunikasi di perairan itu.

"Kesukaran itu dimaklumkan oleh anggota Unit SWART kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 November 2023 @ 8:11 PM