ANGGOTA penyelamat membawa naik mayat seorang kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa bot karam di Phuket ke atas bot penyelamat, kelmarin. - Foto EPA
ANGGOTA penyelamat membawa naik mayat seorang kanak-kanak lelaki yang menjadi mangsa bot karam di Phuket ke atas bot penyelamat, kelmarin. - Foto EPA
AFP

Phuket: Penyelam pasukan penyelamat bot pelancong yang karam di Phuket berdepan situasi mengerikan apabila menemui mayat bergelimpangan dalam bot itu, termasuk wanita memeluk erat kanak-kanak dipercayai anaknya.

Sekurang-kurangnya 42 pelancong China maut selepas bot Phoenix karam akibat laut bergelora, kelmarin.

Sebanyak 42 mayat sudah ditemui dan menurut pihak berkuasa, 14 lagi penumpang bot berkenaan masih hilang.

Ketika kejadian, bot berkenaan membawa 93 pelancong China dan 12 kru Thailand serta pemandu pelancong.

Seramai 48 penumpang dan kru sempat menyelamatkan diri dengan melompat ke dalam laut atau berpaut pada bot kecemasan, namun ramai terperangkap di ruang utama ketika ia tenggelam 40 meter ke dalam Laut Andaman.

“Ia detik yang menyukarkan. Bayangkan menemui banyak mayat termasuk kanak-kanak dalam dakapan mayat ibu mereka,” kata warga Perancis yang juga pengurus kedai penyelam, Philippe Entremont.

Bilik mayat di hospital di Phuket semakin kehabisan ruang berikutan mayat mangsa berterusan tiba.

GAMBAR oleh Jabatan Marin Thailand menunjukkan mangsa bot karam di atas bot nelayan selepas diselamatkan. - Foto via EPA
GAMBAR oleh Jabatan Marin Thailand menunjukkan mangsa bot karam di atas bot nelayan selepas diselamatkan. - Foto via EPA

Hospital menyimpan sebahagian mayat di bilik mayat sementara yang dibina daripada dua bekas disejukkan.

Ramai anggota keluarga mangsa juga tiba di pulau peranginan itu untuk mengenal pasti mangsa.

Puluhan anggota penyelamat termasuk sukarelawan dan penyelam rekreasi berusaha mencari mangsa sejak dua hari lalu, di kawasan yang terkenal dengan terumbu karang indah itu.

Kebanyakan pakar penyelam Thailand dihantar ke utara negara itu untuk operasi menyelamat 12 murid yang terperangkap dalam gua sejak dua minggu lalu, menyebabkan hanya penyelam sukarelawan mengendalikan tugas sukar mengeluarkan mayat dari bot karam itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Julai 2018 @ 9:07 AM