NOH  (kanan) menyerahkan angka  10 kepada wakil tuan rumah Abu Dhabi, Falah Mohamed Al Ahbabi (kiri) sempena majlis penutup  WUF9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
NOH (kanan) menyerahkan angka 10 kepada wakil tuan rumah Abu Dhabi, Falah Mohamed Al Ahbabi (kiri) sempena majlis penutup WUF9 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, semalam.
Mohd Anwar Patho Rohman


Kuala Lumpur: Kerajaan komited memastikan pembangunan kawasan luar bandar tidak dipinggirkan ketika usaha membangunkan bandar yang lestari menjadi tumpuan penting bagi membantu ke arah pertumbuhan ekonomi negara.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, semua dasar kerajaan berkaitan pembangunan bandar dan rancangan wilayahnya akan dipastikan dapat membantu menyokong pertumbuhan ekonomi di samping melindungi alam dan penggunaan tanah pertanian.

“Malaysia tidak akan meminggirkan kawasan luar bandar walaupun tumpuan terarah kepada isu di bandar dan perbandaran.

“Perhubungan di antara bandar dan luar bandar semakin rancak dan saling berhubung. Kawasan luar bandar menjadi tempat tumpuan penting seperti mana bersantai dan riadah semakin penting di bandar,” katanya dalam ucapan penutup Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan dan Pengarah Eksekutif Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UN-HABITAT) Datuk Maimunah Mohd Sharif.

WUF9 bertema Bandar 2030, Bandar Untuk Semua dihadiri 25,000 peserta membabitkan 164 negara, berlangsung di KLCC selama tujuh hari berakhir hari ini.

WUF9 menzahirkan komitmen menerusi Deklarasi Kuala Lumpur Untuk Bandar 2030 yang akan memastikan pelaksanaan Agenda Perbandaran Baharu (NUA) bersifat tempatan dan dipertingkatkan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG).

Ahmad Zahid berkata, Malaysia sudah mempunyai rancangan ekonominya dan pembangunan fizikal kebangsaan seperti rangka kerja pembangunan bandar yang menyokong pembangunan mampan, pertumbuhan dan pengurusan bandar.

“Bagi melaksanakan semua strategi dan program berkenaan, kami mengukuhkan peranan pihak berkuasa tempatan (PBT) sebagai barisan ketiga dalam pentadbiran kerajaan.

“Dengan itu, mereka akan menjadi inovatif, berkesan dan mampu berkejasma dan berganding dengan masyarakat, sektor swasta termasuk organisasi dari luar negara,” katanya.

Beliau juga mengingatkan orang muda tidak dipinggirkan dalam program pembangunan bandar memandangkan masa depan bandar bergantung kepada golongan terbabit.

“Mereka akan menjadi warga, pengurus dan pembuat dasar kepada masa depan bandar kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2018 @ 6:58 AM