NAJIB bersama Noh (tiga dari kiri) menyempurnakan pelancaran penganjuran WUF9 di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya, semalam.
NAJIB bersama Noh (tiga dari kiri) menyempurnakan pelancaran penganjuran WUF9 di Bangunan Putra Perdana, Putrajaya, semalam.
Mohd Husni Mohd Noor


Putrajaya: Kuala Lumpur akan menjadi tuan rumah Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) yang bakal berlangsung pada 7 hingga 13 Februari 2018 dan bandar kedua di Asia selepas Nanning, China pada 2008.

Majlis prapelancaran WUF9 disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Bangunan Putra Perdana, di sini, semalam dengan memasukkan logo WUF9 ke dalam ruang khas yang disediakan berlatarbelakangkan poster penganjuran WUF9 sebagai simbolik program.

Hadir sama Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Tan Sri Noh Omar, Menteri Kewangan II Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

KPKT dalam kenyataan berkata, kesediaan negara menjadi tuan rumah mencerminkan komitmen Malaysia kepada dunia dalam aspek pembangunan bandar yang mampan dan sejahtera selari dengan Sasaran Pembangunan Mapan (SDG) 2030, Persidangan Perubahan Iklim Ke-21 (COP 21) di Paris.

“WUF9 adalah forum pertama diadakan selepas Persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Habitat III yang berlangsung di Quito, Ecuador pada 20 Oktober tahun lalu.

“Forum berkenaan adalah persidangan perundangan global yang dianjurkan setiap dua tahun sekali bagi mengkaji dan menentukan agenda bandar serta membuka jalan bagi wawasan PBB mengenai habitat ke arah masa depan bandar yang lebih baik,” katanya.

Katanya, WUF9 juga akan menjadi platform pertama untuk membahaskan mengenai pelaksanaan dan pencapaian Agenda Perbandaran Baharu (NUA) selepas diterima pakai di Habitat III.

Menurutnya, forum antarabangsa itu dijangka menarik jumlah penyertaan seramai 25,000 peserta sekali gus merancakkan industri perhotelan dan pengangkutan negara.

Forum itu bakal menghimpunkan pelbagai pakar dari setiap sektor perbandaran merangkumi badan bukan kerajaan (NGO), organisasi berasaskan komuniti, profesional, institusi penyelidikan dan akademik, profesional sektor swasta, institusi pembangunan kewangan, media dan badan antarabangsa lain di peringkat antarabangsa, kebangsaan, serantau dan kerajaan tempatan.

Dalam pada itu, katanya, penyertaan WUF9 adalah percuma justeru, kehadiran orang awam serta pihak berkaitan dalam bidang perbandaran dialu-alukan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2017 @ 5:56 AM