Badrul Hisham Shaharin
Badrul Hisham Shaharin
Raja Noraina Raja Rahim


Kuala Lumpur: Ahli Jawatankuasa Penerangan Bersatu, Chegu Bard atau nama sebenarnya Badrul Hisham Shaharin ditahan polis malam tadi, dipercayai berhubung kenyataannya mengenai kasino di Forest City yang dilaporkan Bloomberg.

Perkara itu disahkan Peguambela dan Peguamcara, Rafique Rashid yang berkata, anak guamnya kini berada di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi.

"Tangkapan terkait dengan hantaran dalam Facebook beliau berkaitan dengan Kasino Forest City yang dilaporkan oleh Bloomberg.

"Siasatan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, permohonan reman akan didengar di IPD Dang Wangi pagi ini.

Terdahulu, Chegu Bard didakwa menyindir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai hub kewangan yang akan dibina di Forest City, Johor.

Beliau didakwa berterima kasih kepada agensi berita Business Times Singapore dan Bloomberg kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum.

Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg itu.

Mereka menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media itu atas dakwaan itu.

tamat

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 10:50 AM