Walrus di kepulauan Svalbard, Norway semakin pupus. FOTO Agensi
Walrus di kepulauan Svalbard, Norway semakin pupus. FOTO Agensi
Agensi

Oslo: Seorang pelancong di Norway didenda 12,500 Kroner (kira-kira RM5,460) kerana mendekati walrus di kepulauan Svalbard.

Sky News melaporkan pihak berkuasa berkata pelancong lelaki berkenaan pergi ke kawasan timbunan salji lalu mengganggu walrus yang sedang berbaring di atas ais itu.

Pihak berkuasa berkata, orang ramai yang melihat pelancong mendekati mamalia berkenaan segera melaporkannya kepada gabenor tempatan.

Terdapat undang-undang di Svalbard yang menetapkan seseorang itu mesti berkelakuan dengan cara yang tidak membawa kepada gangguan kepada hidupan liar.

Pelancong itu kemudiannya dibawa ke pejabat gabenor, di mana kemudian diarahkan membayar denda itu.

"Gabenor menggalakkan semua orang untuk menjaga jarak yang baik dari walrus supaya haiwan itu tidak diganggu selagi tidak mengundang bahaya kepada manusia," kata pejabat gabenor dalam kenyataan.

Walrus sebelum ini diburu hingga semakin pupus di Kepulauan Svalbard sebelum mereka dilindungi oleh undang-undang pada 1952, menurut agensi kerajaan Institut Kutub Norway.

Walaupun dilindungi selama beberapa dekad, bilangan walrus masih rendah dan kekal dalam Senarai Merah Kebangsaan Norway yang mengenal pastinya spesis yang berisiko pupus di Norway.

Akan ada peraturan baharu untuk trafik bermotor di laut mulai tahun depan yang khusus untuk melindungi walrus, di mana adalah menyalahi undang-undang untuk pergi dengan sengaja dalam jarak 150 meter daripada walrus.

Had laju ialah lima knot untuk mana-mana trafik motor di laut dalam jarak 300 meter dari walrus.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 April 2024 @ 10:57 AM