MHD Amin (dua dari kanan) ketika program berbasikal, semalam.
MHD Amin (dua dari kanan) ketika program berbasikal, semalam.
HM Digital

Kuala Lumpur: Infrastruktur laluan basikal di Belanda boleh dijadikan contoh kepada Kuala lumpur dalam pelaksanaannya ke arah bandar raya mesra basikal.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, kejayaan Belanda menjadikan basikal sebagai alternatif kenderaan di negara itu wajar dicontohi. Beliau berkata, sebanyak 36 peratus penduduk di negara itu menggunakan basikal sebagai kenderaan untuk kemudahan urusan harian mereka.

“Mereka (Belanda) sudah lama melaksanakan laluan basikal dan ia dilihat sangat sistematik. Malaysia baru saja melaksanakannya, jadi banyak perkara perlu dipelajari daripada mereka.

“Justeru, kita berharap Kuala Lumpur dapat mencontohi infrastruktur laluan basikal di Belanda terutama dari aspek keselamatan dan usaha memastikan ibu negara bebas karbon menjelang 2030,” katanya ketika ditemui pada Program Berbasikal sempena Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) di sini, semalam.

Katanya, jumlah pengguna basikal yang semakin meningkat diharap dapat menjadikan ia sebahagian daripada alternatif kenderaan dalam usaha menjadikan Kuala Lumpur bandar raya mampan dan moden.

Seramai 90 penunggang basikal pelbagai bangsa dan usia menyertai program itu bermula di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTic) ke Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) sejauh 1.5 kilometer.

Antara yang mengambil bahagian ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizzudin Putra Jamalullail; Menteri Kerjasama Perdagangan dan pembangunan Luar Belanda, Sigrid Kaag; Ketua Pegawai Eksekutif InvestKL, Datuk Zainal Amanshah dan Pengarah Eksekutif UN Habitat, Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Selain berbasikal, mereka turut bertukar pandangan dan berkongsi idea bagi memantapkan lagi infrastruktur laluan basikal masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 6:05 AM