Siti Salmiah A Hamid


DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengaudit semula laluan basikal sepanjang 11 kilometer di sekitar bandaraya ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Tan Sri Mhd Amin Nordin berkata, audit itu akan dijalankan selama dua bulan bagi memastikan laluan itu selamat dan berkesan untuk kegunaan orang ramai.

“Laluan basikal yang diwujudkan ini masih dalam percubaan bersempena dengan Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF9) tetapi kita memang ada perancangan untuk membina laluan basikal di pusat bandaraya.

"Tetapi kita menghadapi beberapa masalah seperti tempat letak kereta, laluan bas selain siar kaki yang tidak begitu besar," katanya selepas merasmikan WUF9 Village di Medan Pasar, di ibu kota semalam.

Menurut beliau, laluan basikal tidak boleh diwujudkan untuk kedua-dua arah kerana ia juga adalah sebahagian daripada laluan bas.

"Jadi, kita ambil keputusan untuk buat laluan basikal di sebelah kanan saja manakala sebelah kiri untuk laluan bas seperti mana di Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Raja Laut.

"Tetapi buat sementara waktu kita biarkan ia digunakan sehingga dalam beberapa bulan selepas audit bagi menentukan secara tepat kedudukan selamat laluan basikal," katanya.

Kos pembinaan laluan basikal sepanjang 11 kilometer itu membabitkan RM4 juta.

"Ia memerlukan masa sedangkan kita baru saja mulakan laluan ini berbanding negara lain.

"Kita akan berusaha menaik taraf dari semasa ke semasa dan esok saya akan dapatkan maklum balas dan komen daripada duta dan datuk bandar dari Eropah mengenai hal ini," katanya.

Sementara itu, beliau mengakui Medan Pasar antara kawasan tertua di ibu kota yang tenggelam di sebalik pembangunan.

"Dengan kewujudan pelbagai reka bentuk unik dan elemen hijau akan dapat menarik perhatian pelancong sekaligus memulihkan kawasan yang dianggap terbiar.

"Kita seharusnya mengambil peluang untuk menaik taraf kawasan sebegini di sekitar Kuala lumpur bukan saja untuk pelancongan bahkan meletakkan Kuala Lumpur berdaya maju setaraf dengan bandaraya lain di dunia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 9:02 PM