Pemandangan Sungai Melaka serta sekitar Bandaraya Melaka Bersejarah dari pandangan atas pada Lawatan Teknikal Delegasi World Urban Forum ke-9 (WUF9) ke Melaka di Restoran Sky Deli, The Shore. FOTO Rasul Azli Samad
Pemandangan Sungai Melaka serta sekitar Bandaraya Melaka Bersejarah dari pandangan atas pada Lawatan Teknikal Delegasi World Urban Forum ke-9 (WUF9) ke Melaka di Restoran Sky Deli, The Shore. FOTO Rasul Azli Samad
Nurul Fhatihah Zakinan


MELAKA menjadi contoh model negeri paling ke hadapan dalam pembangunan berdaya tahan, mapan dan lestari menerusi penganjuran World Urban Forum Kesembilan (WUF9), di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur, kali ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, menerusi forum terbesar itu, Melaka terbukti menjadi satu-satunya negeri yang dijemput menyampaikan pembentangan kertas kerja membincangkan isu pembangunan perbandaran lebih baik dan selamat untuk didiami di masa hadapan.

"Saya diberi peluang untuk membentang kertas kerja di forum ini dan dapat menyediakan semuanya dalam bentuk visual dan mesyuarat plenari yang dianggotai enam pakar berkaitan sokongan kewangan yang membantu pembangunan mapan.

"Mereka nampak kepentingan Melaka dalam pelbagai perkara termasuk teknologi hijau, pengurusan sisa pepejal dan tenaga serta kelestarian perbandaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media pada Program Santai bersama Ketua Menteri, sempena Lawatan Teknikal WUF9 membabitkan penyertaan 42 negara di seluruh dunia, di sini, hari ini.

WUF9 berlangsung pada 7 Februari lalu hingga Selasa ini di KLCC menjadi siri forum terbesar pernah dianjurkan sejak tahun 2002 dengan penyertaan 25,000 delegasi dari dalam dan luar negara.

Forum bertaraf antarabangsa itu membincangkan isu perbandaran, lebih 500 program termasuk sesi pembentangan kertas kerja, bengkel, sesi integrasi negara berkaitan, mesyuarat plenari, sesi khas, sidang meja bulat, dialog polisi dan perhimpunan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 5:57 PM