Mohd Anwar Patho Rohman


Kuala Lumpur: Kejayaan Malaysia mengurus pertumbuhan bandar utamanya yang membangun dengan pesat disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan kejayaan program transformasi yang dilaksanakan kerajaan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, apa yang dikecapi Malaysia hari ini mencerminkan trend pembangunan sama seperti yang berlaku di negara Asia dan Afrika berdasarkan laporan Agenda Perbandaran Baharu di Quito pada tahun 2016.

Beliau berkata, pengalaman di Malaysia mencerminkan trend pertumbuhan bandar negara ini di bawah paras 30 peratus pada tahun 1970-an, kini berada pada kadar 75 peratus dan dijangka meningkat kepada 85 peratus pada tahun 2050.

“Seperti kebanyakan negara lain, kami menghadapi pelbagai cabaran dan berjaya menguruskan transformasi bandar yang berkembang dengan rancak.

“Kami dibantu dengan asas ekonomi yang kukuh, Program Transformasi Ekonomi yang kerajaan saya laksanakan pada tahun 2010 mewujudkan 2.26 juta peluang pekerjaan, yang mana satu juta daripada itu adalah pekerjaan berpendapatan tinggi.

“Inflasi dan pengangguran pada paras rendah. Kami menurunkan defisit daripada 6.7 peratus pada tahun 2009 kepada tiga peratus pada tahun lalu.

“Syukur dengan pendekatan (diambil kerajaan) yang kukuh dan proaktif, kami pulih dengan cepat daripada krisis global antara tahun 2008 hingga 2009 dan kami menikmati tempoh pertumbuhan yang kukuh,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Forum Bandar Sedunia Kesembilan (WUF9) anjuran Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-HABITAT) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini, semalam.

NAJIB menerima cenderahati daripada  Maimunah  pada Majlis Perasmian Forum Bandar Sedunia Kesembilan  di KLCC, semalam.
NAJIB menerima cenderahati daripada Maimunah pada Majlis Perasmian Forum Bandar Sedunia Kesembilan di KLCC, semalam.

Turut hadir, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar dan Pengarah Eksekutif di UN-Habitat, Datuk Maimunah Mohd Sharif.

Forum dengan tema Bandar 2030, Bandar Untuk Semua: Me­laksanakan Agenda Bandar Baharu itu disertai 89 Menteri dan Timbalan Menteri dari 61 negara serta 24,700 delegasi dari 192 negara.

Forum dwitahunan itu juga adalah platform bagi membincangkan dan membentangkan komitmen, strategi dan inovasi, mengenal pasti peranan institusi serta meneruskan perkongsian dalam pelaksanaan Pembangunan Mampan dan Pelan Tindakan Agenda Bandar Baharu (NUA).

Najib turut berkata, kerajaan juga sentiasa mengutamakan kepentingan rakyat yang tinggal di bandar seperti mewujudkan program membina ribuan rumah mampu milik untuk mereka yang berpendapatan rendah.

Malah, katanya, kerajaan hanya mengenakan caj rawatan serendah RM1 di Klinik 1Malaysia, mengecualikan cukai kepada barang makanan tertentu, menyediakan kursus latihan dan pelbagai inisiatif termasuk insentif perniagaan khasnya kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara.

“Walaupun Bandaraya Kuala Lumpur terkenal di seluruh dunia, menjadi bandar ke-10 yang sering dilawati di dunia, keenam terbaik pilihan tempat bersara manakala Georgetown di tempat ke-10, kami sentiasa memastikan kehidupan rakyat Malaysia di bandar menikmati kualiti hidup yang baik dan lestari untuk generasi akan datang.

“Itulah sebabnya kami melabur dalam bidang pengangkutan awam seperti Mass Rapid Transit (MRT) di Lembah Klang dan Sistem Transit Rapid yang saya dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong setuju dibina menghubungkan Johor Bahru dan Singapura.

“Ia adalah bidang yang diabaikan pada masa lalu kerana terlalu mengutamakan industri pembuatan kereta,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Februari 2018 @ 5:41 AM