NAJIB hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti PBB ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam.
NAJIB hadir pada Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti PBB ke-14 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, semalam.
HM Digital

Kuching: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membuktikan kesungguhannya membawa pembangunan ke Sarawak sepanjang sembilan tahun memimpin Kerajaan Persekutuan.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg berkata, bukti paling jelas ialah kesudian Perdana Menteri mengembalikan empangan Loji Hidroelektik Bakun kepada kerajaan negeri.

Malah, katanya, pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo bernilai lebih RM14 bilion antara bukti kesungguhan Najib mengubah Sarawak.

“Sepanjang menjadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib sudah 59 kali melawat Sarawak dan 126 lokasi termasuk yang jauh di pedalaman dikunjunginya.

“Beliau tidak pernah datang dengan tangan kosong, sebaliknya ada saja peruntukan pembangunan diluluskan, sekali gus membuktikan komitmen berterusan beliau mengimbangi pembangunan negeri ini dengan negeri lain,” katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan aluan sempena perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) ke-14 yang disempurnakan Najib di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, semalam.

Abang Johari berkata, keikhlasan Najib membantu Sarawak membuatkan beliau sentiasa dekat di hati rakyat.

“Malah, beliau turut membuka jalan kepada usaha mengembalikan beberapa perkara berkaitan hak keistimewaan negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pelbagai transformasi pembangunan dan sosio ekonomi dilaksanakannya dalam tempoh sembilan tahun ternyata jauh berbeza berbanding dengan seorang Perdana Menteri yang memerintah negara selama 22 tahun,” katanya.

Justeru, Abang Johari memberi jaminan Sarawak akan terus memberi sokongan padu kepada Najib khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memastikan beliau kekal menjadi Perdana Menteri.

“Pada Pilihan Raya Negeri lalu, PBB memenangi semua kerusi dipertandingkan dan saya memberi jaminan untuk berusaha mengulanginya pada PRU-14 sebagai sokongan padu kita kepada Perdana Menteri.

“Saya beri jaminan kita akan memberikan pencapaian terbaik A+ kepada Barisan Nasional dan yakin dengan kecemerlangan itu, Sarawak terus dekat di hati Perdana Menteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Februari 2018 @ 10:00 AM