NAJIB  bersama Abang Johari di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti PBB. FOTO Nadim Bokhari
NAJIB bersama Abang Johari di Majlis Perasmian Perhimpunan Agung Parti PBB. FOTO Nadim Bokhari
Hardi Effendi Yaakob; Adib Povera dan Mohd Roji Kawi


PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuktikan kesungguhannya membawa pembangunan ke Sarawak sepanjang sembilan tahun memimpin Kerajaan Persekutuan, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.

Beliau berkata, bukti paling jelas ialah kesudian Perdana Menteri mengembalikan empangan Loji Hidroelektik Bakun kepada kerajaan negeri.

Malah, katanya, pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo yang bernilai lebih RM14 bilion antara bukti kesungguhan Najib untuk mengubah Sarawak.

“Sepanjang tempoh menjadi Perdana Menteri, Najib sudah 59 kali melawat Sarawak dan 126 lokasi termasuk yang jauh di pedalaman dikunjunginya.

“Beliau tidak pernah datang dengan tangan kosong, sebaliknya ada saja peruntukan pembangunan diluluskan, sekali gus membuktikan komitmen berterusan beliau mengimbangi pembangunan negeri ini dengan negeri lain,” katanya dalam ucapan aluan sempena perasmian Perhimpunan Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Ke-14 yang disempurnakan Najib di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), Kuching, hari ini.

Abang Johari berkata, keikhlasan Najib membantu negeri ini membuatkan beliau sentiasa dekat di hati rakyat.

“Malah beliau turut membuka jalan kepada usaha mengembalikan beberapa perkara berkaitan hak keistimewaan negeri yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

“Pelbagai transformasi pembangunan dan sosioekonomi dilaksanakannya dalam tempoh sembilan tahun ternyata jauh beza berbanding bekas Perdana Menteri yang memerintah negara selama 22 tahun,” katanya.

Justeru, beliau memberi jaminan Sarawak akan terus memberi sokongan padu kepada Najib khususnya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) untuk memastikan beliau terus menjadi Perdana Menteri.

“Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, PBB berjaya memenangi semua kerusi dipertandingkan dan saya memberi jaminan untuk berusaha mengulanginya pada PRU-14 sebagai sokongan padu kepada Najib,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Februari 2018 @ 3:19 PM