NAJIB   bersama     Abang Johari  dan   Dr Sim   menunjukan poster Parti SUPP selepas menyempurnakan  Majlis Penutupan Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sarawak yang ke-24 di Ibu Pejabat SUPP, semalam.
NAJIB bersama Abang Johari dan Dr Sim menunjukan poster Parti SUPP selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sarawak yang ke-24 di Ibu Pejabat SUPP, semalam.
Shamran Sarahan dan Ekhwan Haque Fazlul Haque

Kuching: Kerajaan perlu berperanan sebagai entiti penyatuan melalui pengiktirafan terhadap setiap hak rakyat di negara ini dalam memastikan keamanan dan kestabilan negara terus utuh di masa akan datang.

Meskipun tidak menyebut secara langsung mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), Perdana Menteri menjelaskan beliau yakin Malaysia akan menjadi negara yang kuat selagi kerajaan terus mengiktiraf hak rakyat di setiap negeri di negara ini sebagaimana yang sewajarnya dimiliki rakyat Sarawak.

Datuk Seri Najib Razak berkata, dalam konteks itu, beliau mengiktiraf hak rakyat di negeri ini dan sekiranya ada hak yang terambil Kerajaan Pusat, ia perlu dikembalikan semula.

“Saya percaya jika kita (kerajaan) mahukan Malaysia menjadi kuat, kita mesti mengiktiraf apa yang menjadi hak rakyat Sarawak.

“Kalau hak itu menjadi milik (rakyat dan kerajaan) Sarawak, kita akan berikan kembali,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penutupan Persidangan Perwakilan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) yang ke-24 di Ibu Pejabat SUPP, semalam.

Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg dan Presiden SUPP Datuk Dr Sim Kui Hian.

Dalam pada itu, Najib berkata, kerajaan turut komited untuk membawa pembangunan berterusan di Sarawak bagi memastikan negeri itu menerima pembangunan setara dengan Semenanjung.

“Ia bukan janji kosong. Melalui projek Lebuh Raya Pan Borneo, kerajaan berikan komitmen menyalurkan projek itu kepada kontraktor tempatan, bahkan lebuh raya berkenaan dibina tanpa tol.

“Kerajaan mahu Sarawak dibangunkan dengan seimbang sama dengan Semenanjung. Kita mahu membina Sarawak yang baru, itu visi kerajaan kepada Sarawak,” katanya.

Menyentuh kemelut politik membabitkan perbalahan SUPP dengan parti serpihannya, Parti Rakyat Bersatu (UPP), beliau berharap ia dapat diselesaikan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 24 Disember 2017 @ 7:49 AM