Mohd Roji Kawi


Kuching: Tan Sri Abang Johari Abang Openg yakin pengalaman luas Datuk Seri Anwar Ibrahim mampu mentadbir kerajaan untuk meningkatkan martabat Malaysia di mata dunia.

Premier Sarawak itu berkata, dengan latar belakang politik yang disegani, Anwar, berkeupayaan menjadi Perdana Menteri yang akan meletakkan Malaysia sebagai negara tersohor dan dihormati.

Justeru katanya, sejurus Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar Malaysia harus menubuhkan Kerajaan Perpaduan, November lalu, Gabungan Parti Sarawak (GPS) pimpinannya memberi kepercayaan kepada Anwar untuk menerajui kerajaan.

"Kita lihat penggal yang lepas, politik negara kita tidak aman dan kita terpaksa mencari jalan untuk menyatu padukan rakyat Malaysia.

"Sebab itu selepas pilihan raya yang lalu dan tercetus keadaan politik yang tidak menentu kita bersetuju untuk membentuk Kerajaan Perpaduan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bagi meraikan lawatan rasmi pertama Anwar ke Sarawak sebagai Perdana Menteri.

Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali, Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun) Sarawak, Tan Sri Mohd Asfia Awang Nassar.

Abang Johari berkata, turut menyifatkan pembentukan Kerajaan Perpaduan langkah tepat bagi mengembalikan kestabilan politik negara.

"Ini asas untuk kita bersama-sama bekerja membangunkan negara dalam keadaan yang stabil.

"Kami dalam GPS akan sentiasa berada di belakang Perdana Menteri untuk memastikan kestabilan berterusan," katanya.

DATUK Seri Anwar hadir pada Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK). FOTO Nadim Bokhari.
DATUK Seri Anwar hadir pada Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo (BCCK). FOTO Nadim Bokhari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 11:03 PM