ANGGOTA Bomba dan polis mengangkat mangsa pemandu Proton Persona, Azmi Mohamad Noor, 49 yang maut dalam kemalangan terbabit dengan sebuah lori minyak di Kilometer 35, Jalan Dungun-Bukit Besi di persimpangan Lay Bay Bukit Besi. FOTO Rosli Ilham
ANGGOTA Bomba dan polis mengangkat mangsa pemandu Proton Persona, Azmi Mohamad Noor, 49 yang maut dalam kemalangan terbabit dengan sebuah lori minyak di Kilometer 35, Jalan Dungun-Bukit Besi di persimpangan Lay Bay Bukit Besi. FOTO Rosli Ilham
Rosli Ilham


“PATUTLAH sepanjang hari ini hati saya teringat ayah dan dua adik. Luluh hati ini selepas menerima panggilan mereka terbabit kemalangan dan ayah pula pergi meninggalkan kami," kata Azieyati Ashikin Azmi, 24, selepas ayahnya maut dalam kemalangan di Kilometer, 73.5, Jalan Jerangau-Jabur, Persimpangan Lay Bay, Bukit Besi, Dungun, petang ini.

Dalam kemalangan 3.30 petang itu, ayahnya, Azmi Mohamed Noor, 49, maut di tempat kejadian akibat patah kedua kaki, paha dan cedera seluruh badan.

Manakala dua adik tirinya, Nur Fatihah Husna Azmi, 14 dan Mohd Nazrulhaq Azmi, 13, parah dan dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut.

Kejadian itu dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu Azmi dari arah Dungun terbabas selepas membelok masuk ke simpang kiri untuk pulang ke rumahnya di Kampung Bukit Besi.

Berikutan itu, kereta mangsa memasuki kanan jalan dan melepasi pembahagi jalan sebelum dirempuh treler muatan minyak yang datang dari arah bertentangan.

Azieyati berkata, ketika kejadian, dia yang sudah berkahwin sedang bekerja di kedai makan ibu saudaranya di Bandar Dungun.

"Ayah berpisah dengan ibu saya sudah lama dan turut berpisah dengan ibu kedua-dua adik tiri saya sejak 10 tahun lalu.

Ayah bekerja sebagai operator jengkaut dan kedua-dua adik saya itu belajar di Sekolah Pondok di Ketengah Jaya," katanya.

Katanya, ketika kejadian kesemua mereka dalam perjalanan pulang ke rumah di Bukit Besi dari membeli peralatan sekolah di Bandar Dungun.

" Kali terakhir saya bertemu ayah dan kedua-dua adik pada awal Januari lalu. Sepanjang semalam, saya sangat merindui mereka namun tidak sempat berhubung kerana saya sibuk di kedai," katanya.

Sementara itu, pemandu treler minyak, Aziz Ramli, 42, berkata, ketika kejadian dia mengambil bekalan diesel dan petrol dari Pelabuhan Kuantan untuk dihantar ke stesen minyak di Sungai Tong Setiu.

"Saya terkejut dengan tindakan kereta itu yang dipandu laju sebelum terbabas dan memasuki laluan saya.

“Saya tak sempat mengelak sebelum kedua-dua kenderaan kami bertembung," katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Al Muktaffi Billah Shah AMBS, Jaswari Awang berkata, Bomba menerima panggilan 3.40 petang bersama tujuh anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, pemandu kereta terbabit tersepit di tempat duduk akibat keseluruhan bahagian depan kenderaannya remuk.

"Dua anak mangsa ketika itu sudah dikeluarkan orang ramai dan kita mengambil masa selama 10 minit untuk mengeluarkan mangsa yang tersepit.

Jenazah mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Berita berkaitan

Ayah maut, dua anak parah

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 Februari 2018 @ 8:17 PM