Rosli Ilham


TIGA termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun maut dalam kemalangan membabitkan Perodua Kancil dan Proton Iswara Aeroback, di Kilometer 18, Jalan Dungun-Bukit Besi, dekat Kampung Paya Kemudi, di Dungun, hari ini.

Dalam kemalangan 9.50 pagi, Shofeka Mohd Isalam, 24, maut di tempat kejadian akibat parah di bahagian kepala dan anggota badan.

Turut terbunuh ialah pemandu kereta Perodua Kancil serta kanak-kanak berusia tiga tahun yang dipercayai anak mereka.

Seorang lagi penumpang Perodua Kancil dilaporkan parah.

Bagaimanapun, identiti tiga lagi mangsa masih belum diperoleh.

Kemalangan itu dipercayai berlaku apabila kereta Produa Kancil dinaiki empat beranak itu dikatakan dalam perjalanan dari arah Bukit Besi menghala ke Dungun.

Sebaik tiba di tempat kejadian, Perodua Kancil itu dikatakan bertembung dengan Proton Iswara Aeroback yang datang dari arah bertentangan.

Kejadian itu turut menyebabkan wanita berusia 21 tahun yang memandu Proton Iswara Aeroback patah kedua-dua belah kaki dan pahanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung dengan kemalangan itu.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Dungun untuk bedah siasat, manakala dua mangsa yang parah turut dikejarkan ke hospital yang sama untuk rawatan lanjut.

“Orang ramai yang menyaksikan kemalangan itu diharap dapat menyalurkan maklumat bagi membantu polis menjalankan siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Dungun, Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab berkata, pihaknya menerima panggilan 9.54 pagi sebelum enam anggota bersama sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, semua mangsa yang tersepit berjaya dikeluarkan pihaknya dengan bantuan penduduk kampung.

“Mangsa yang maut diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut manakala dua mangsa yang parah dikejarkan ambulans ke Hospital Dungun,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 1:15 PM
TIGA beranak yang menaiki Perodua Kancil maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17,  Jalan Dungun - Bukit Besi,  dekat Kampung Paya Kemudi,  hari ini. FOTO Rosli Ilham
TIGA beranak yang menaiki Perodua Kancil maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 17, Jalan Dungun - Bukit Besi, dekat Kampung Paya Kemudi, hari ini. FOTO Rosli Ilham