Muhammad Apendy Issahak

Taiping: Kumpulan penjenayah yang melakukan kegiatan samun bersenjata ala ‘Robin Hood’ dengan menyasarkan pengedar dadah ditahan polis dalam beberapa serbuan berasingan, 26 dan 27 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Taiping Asisten Komisioner Mohamad Taib berkata, kumpulan penjenayah digelar Geng Amir Batu 16 itu aktif melakukan samun bersenjata dengan menggunakan pedang samurai sejak enam bulan lalu dan lebih suka memilih pengedar dadah sebagai mangsa.

Katanya, dalam operasi bermula jam 11 pagi, 26 Januari hingga jam 4 pagi, 27 Januari lalu, tujuh ahli kumpulan itu berusia 23 hingga 30 tahun, termasuk dalangnya yang berusia 27 tahun, ditahan.

“Serbuan pertama dilakukan di sebuah restoran di Jalan Kamunting dan kami menahan seorang lelaki yang membawa kepada tangkapan kedua di Taman Mewah, Kamunting.

“Hasil soal siasat, kami menyerbu sebuah bengkel membaiki kenderaan di Taman Saujana Jaya, Assam Kumbang dan merampas sebuah Proton Wira yang dipercayai digunakan untuk kegiatan samun,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

MOHAMAD  (tiga dari kanan) menunjukkan pedang samurai yang digunakan Geng Amir Batu 16. FOTO L.Manimaran
MOHAMAD (tiga dari kanan) menunjukkan pedang samurai yang digunakan Geng Amir Batu 16. FOTO L.Manimaran

Mohamad berkata, serbuan seterusnya dilakukan di kawasan pasar malam di Taman Lela, Kamunting dan pihaknya dapat menahan ketua kumpulan berkenaan yang dikenali sebagai Amir sebelum beberapa serbuan lain menahan empat lagi suspek.

“Dengan tertangkapnya tujuh suspek ini, kami dapat menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes membabitkan dua kes rompak, tiga kes curi motosikal dan dua kes khianat.

“Taktik kumpulan ini ialah menyamun dengan pedang samurai kumpulan pengedar dadah yang menjadikan hotel murah sekitar Kamunting dan bandar Taiping sebagai tempat membungkus dadah sebelum melarikan wang, barang berharga serta dadah kerana kumpulan ini juga mengedar dadah,” katanya.

Sementara itu, pada kes berasingan, Mohamad berkata, pihaknya menahan dua pengedar dadah kecil-kecilan membabitkan seorang duda dan bapa empat anak dalam dua serbuan berasingan.

“Lelaki berusia 58 tahun yang sudah berkahwin dan mempunyai empat anak ditahan di rumahnya di Sungai Mati, Matang, jam 11.30 malam Jumaat lalu. Kami turut merampas ganja seberat 333 gram,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 Februari 2018 @ 11:13 AM