ANTARA suspek  yang ditahan bersama senjata di sebuah rumah di Selayang Indah, Batu Caves.
ANTARA suspek yang ditahan bersama senjata di sebuah rumah di Selayang Indah, Batu Caves.
myMetro

Kuala Lumpur: Empat penjenayah dikehendaki membabitkan tiga warga tempatan dan seorang warga asing memecah masuk kediaman mangsa selepas khayal dadah ditahan di Selayang Indah, Batu Caves di sini, jam 1.30 tengah hari kelmarin.

Sumber berkata, keempat-empatnya yang ditahan anggota Bahagian Siasatan Khas Jenayah Berat (D9) Bukit Aman dikategorikan berbahaya kerana bersenjatakan pedang samurai, selain buku lima ketika melakukan jenayah.

“Polis menahan empat lelaki terbabit berusia 43 hingga 46 tahun. Seorang daripada lelaki warga tempatan berusia 45 tahun memiliki rekod jenayah lampau membabitkan kes samun dan cabul. Seorang lagi berumur 43 tahun mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.

“Pemeriksaan di dalam rumah menemui tiga pedang samurai dan dua buku lima. Keempat-empatnya serta senjata dirampas dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kumpulan penjenayah itu aktif memecah masuk rumah di sekitar daerah itu sejak beberapa bulan lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 2 Mac 2017 @ 9:28 AM