Zainuddin (dua dari kiri) menunjukkan baju keselamatan (vest) polis yang digunakan suspek untuk menyamar polis dalam kes samun di Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zainuddin (dua dari kiri) menunjukkan baju keselamatan (vest) polis yang digunakan suspek untuk menyamar polis dalam kes samun di Kuala Muda. FOTO Zuliaty Zulkiffli
Zuliaty Zulkiffli


‘GENG Terri’ yang terbabit dalam kes samun tumpas selepas lima lelaki termasuk seorang bekas polis bantuan ditahan di Kuala Ketil dan Bukit Selambau Sabtu lalu.

Lelaki berusia antara 26 sehingga 31 tahun itu ditahan dalam serbuan berasingan di sebuah pondok di Kuala Ketil dan sebuah rumah di Bukit Selambau pada 8.30 malam.

Ketua Polis Kedah Datuk ZainuddinYaacob berkata, hasil serbuan polis menemui beberapa unit telefon bimbit dipercayai milik mangsa, beberapa helai baju serta vest hijau berlogo Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai digunakan suspek.

Zainuddin berkata, turut ditemui pedang samurai, rangka motosikal, mangga pengunci, peralatan pecah rumah dan buku lima (Black Jack).

“Pemeriksaan lanjut mendapati salah seorang suspek adalah bekas anggota polis sokongan di Kelantan yang pernah dibuang kerja sebelum ini.

“Hasil saringan air kencing mendapati semua suspek positif dadah,” katanya.

Katanya, kumpulan itu dipercayai terbabit dalam beberapa kes samun dan terbaru membabitkan mangsa wanita berusia 36 tahun yang disamun di kawasan parkir Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani Rabu lalu.

“Seorang suspek turut menyamar sebagai anggota polis dengan memakai jaket keselamatan polis.

“Suspek turut mengacukan pisau ke arah mangsa dan melarikan pelbagai barangan berharga serta wang tunai dengan nilai keseluruhan RM10,000,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana terbabit dalam kes samun.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 Oktober 2019 @ 7:39 PM