SUSPEK yang ditahan anggota AADK.
SUSPEK yang ditahan anggota AADK.
myMetro

Kajang: Kerja hanya ‘goyang kaki’ di rumah namun mampu memperoleh pendapatan hingga RM16,000 seminggu. Malah ada antara mereka miliki simpanan sehingga suku juta ringgit.

‘Kejayaan’ kumpulan penganggur ini didedahkan pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) hasil lawatan mengejut ke beberapa kediaman milik pengedar dadah kecil-kecilan di Sungai Merab Luar di sini.

Dalam serbuan pertama jam 7 pagi semalam, lapan pegawai dan anggota AADK menahan seorang penganggur berusia 29 tahun di kediamannya.

Penolong Pengarah (Siasatan dan Pendakwaan) AADK Nik Muhammad Nik Dir berkata, suspek yang tinggal bersama isterinya melarikan diri ketika serbuan dijalankan.

“Namun hasil tindakan pantas anggota AADK, kami berjaya menahan suspek kira-kira 200 meter dari kediamannya.

“Hasil pemeriksaan di rumahnya, kami menemui pelbagai peralatan membungkus dadah, dua pedang samurai dan 0.2 gram dadah jenis syabu di almari biliknya. Selain itu kami menemui buku urus niaga yang merekodkan perolehan RM256,000 sepanjang suspek melakukan kegiatan jenayah itu,” katanya ketika di temui di Ibu Pejabat AADK, di sini, semalam.

Dalam serbuan berasingan jam 12.30 pagi, AADK turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun di kediamannya di Taman Pinggiran Putra di sini, selepas suspek dipercayai mengedar dadah secara kecil-kecilan di kawasan sekitar Putrajaya.

Nik berkata, suspek dipercayai aktif mengedar dadah sejak setahun lalu dengan menjualnya secara kecil-kecilan kepada penagih sekitar daerah ini.

“Hasil pemeriksaan menemui dadah jenis syabu seberat 10 gram selain beberapa peralatan bagi membungkus dadah dipercayai untuk tujuan pengedaran.

“Kedua-dua suspek yang positif dada syabu ditahan bagi membantu siasatan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Kes ini disiasat mengikut Akta Dadah Merbahaya 1950 dan Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan),” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan aktiviti mengedar dan penagihan dadah melaporkannya kepada AADK mahupun polis.

“Kerjasama orang ramai diperlukan bagi membantu pihak berkuasa memerangi dadah. Mereka yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah terbabit boleh menghubungi Ibu Pejabat AADK di talian 03-89112424 atau laporkan terus ke balai polis berhampiran,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Jun 2016 @ 10:19 AM