PERNIAGAAN automotif DRB-HICOM dijangka kekal berdaya tahan bagi tahun semasa. FOTO fail NSTP
PERNIAGAAN automotif DRB-HICOM dijangka kekal berdaya tahan bagi tahun semasa. FOTO fail NSTP
Bisnes HM


DRB-HICOM Berhad (DRB-HICOM) mencatatkan pendapatan berjumlah RM3.44 bilion bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2019, meningkat 29.5 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu didorong prestasi baik sektor automotif Kumpulan.

Bagi tempoh berkenaan, Kumpulan mencatatkan perolehan sebanyak RM2.65 bilion dengan keuntungan sebelum cukai RM146.72 juta bagi suku berkenaan, berbanding kerugian sebelum cukai RM94.4 juta setahun lalu.

DRB-HICOM dalam kenyataan berkata, pendapatan sektor automotif meningkat 59.2 peratus mencecah RM2.23 bilion, berbanding setahun lalu selepas jualan kenderaan meningkat hasil pelancaran beberapa model wajah baharu oleh Proton selain aktiviti promosi oleh jenama lain.

“Secara keseluruhan, sehingga Julai 2019, pengeluar kereta nasional Proton telah menjual 52,108 unit kenderaan pelbagai model pada tahun ini, berbanding hanya 35,561 unit yang dijual pada tempoh sama 2018,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

DRB-HICOM berkata, menuju ke hadapan, perniagaan automotif Kumpulan dijangka kekal berdaya tahan bagi tahun semasa,

dibantu penerimaan baik terhadap model-model Proton, serta pelancaran model baharu oleh jenama lain.

Dalam pada itu, katanya, sektor perkhidmatan DRB-HICOM mencatat perolehan yang mendatar pada RM1.09 bilion, sementara prestasi sektor hartanah lebih rendah berbanding setahun lalu akibat projek pembinaan yang berada pada tahap siap yang berbeza-beza.

Pos Malaysia terus beroperasi di dalam persekitaran yang berdaya saing dengan cabaran kos dan harga, namun usaha menangani kekangan itu masih berterusan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 Ogos 2019 @ 7:47 PM