LOKASI mangsa tertimbus. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
LOKASI mangsa tertimbus. FOTO Khairul Najib Asarulah Khan
Khairul Najib Asarulah Khan


LELAKI warga Indonesia, 30-an menahan kesakitan lebih sejam apabila tertimbus separuh badan dalam tanah sebaik jentolak dikendalikan terjatuh ke dalam gaung di hutan berdekatan Jalan Bukit Mantin, hari ini.

Pada kejadian 3 petang, lelaki itu sedang menjalankan aktiviti mengorek pasir sebelum jentolak menggelongsor ke bawah sedalam enam meter.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBDP) Seremban, N Sundram berkata, pihaknya menerima panggilan 3.59 petang mengerahkan tujuh anggota ke lokasi.

Katanya, sebaik tiba di jalan itu, pihaknya tidak dapat memasuki lokasi menggunakan jentera bomba berikutan ia terletak kira-kira dua meter dari dalam hutan.

"Sehubungan itu, kami meminta bantuan syarikat pasir berkenaan untuk menggunakan pacuan empat roda dan dibawa ke tempat kejadian," katanya.

Sundram berkata, pihaknya yang tiba 10 minit selepas itu mendapati mangsa tertimbus dalam tanah sehingga ke paras pinggang.

"Kerja menyelamat dijalankan segera sebelum lelaki itu dapat dikeluarkan dari timbunan. Dia yang parah di kepala serta badan diserahkan kepada pihak ambulans dan dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ), Seremban," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 January 2018 @ 9:51 PM